Free Website Hosting

Tuesday, May 25, 2010

Kerajaan digesa anjur 'Malam Anugerah Judi'

Sabaruddin Hassan

Melihat kepada perkembangan mutakhir ini, kerajaan digesa menganjurkan satu program ala "Malam Anugerah Judi 1 Malaysia' mungkin boleh dibuat di Genting Highland dalam masa yang terdekat.

Anugerah tersebut bolehlah diberikan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mengikut kategori-kategori tertentu. Ini adalah untuk mengenang jasa-jasa mereka yang telah banyak menyumbang bakti mahupun wang ringgit dalam perkembangan industri judi di Malaysia.


Pada malam anugerah nanti turut diserikan dengan persembahan oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang dijemput khas oleh pihak penganjur. Kementerian Kewangan dicadangkan menjadi penganjur kerana kewibawaannya, di samping mempunyai hubungan yang baik dengan syarikat-syarikat judi lokal dan antarabangsa.

Syarikat-syarikat tersebut tentunya boleh menjadi penaja untuk membiayai sebahagian daripada kos penganjuran. Iklan dan logo-logo syarikat akan diberi tempat dalam media massa arus perdana yang dikuasai oleh kerajaan.


Antara kategori anugerah yang dicadangkan dan paling berprestij ialah:



Anugerah Khas Judi 1 Malaysia, diberikan kepada tokoh negara yang paling berjasa kepada industri judi dalam negara kerana meluluskan lesen judi.


Anugerah Tokoh Judi, anugerah ini untuk wakil rakyat atau senator yang banyak menyumbang jasa dan bakti terhadap industri judi, termasuklah idea untuk menghalalkan aktiviti judi melalui pemberian lesen yang sah.


Penjudi Paling Popular, iaitu anugerah untuk tauke judi yang paling popular dan telah banyak berjasa kepada negara.


Anugerah-anugerah lain yang dicadangkan ialah Penyokong Lelaki Judi Paling Popular, Penyokong Wanita Judi Paling Popular, Syarikat Judi Paling Popular dan Iklan Judi Paling Kreatif.


Pihak kerajaan boleh menubuhkan satu jawantankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar judi dalam setiap parti komponen BN untuk membuat pemukiman terlebih dahulu. Jawatankuasa ini nanti akan bertanggungjawab untuk memilih dan mencalonkan para pemenang yang akan menerima anugerah pada malam yang dijangka meriah dan paling berprestij tahun ini.

No comments:

Post a Comment