Free Website Hosting

Tuesday, August 31, 2010

Misi kemanusiaan berlepas ke Pakistan
Hazayani Zakaria

SEPANG, 31 Ogos: Seramai 12 orang peserta misi kemanusiaan ke Pakistan berlepas hari ini bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa bencana alam di sana.

Sepuluh daripada mereka terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Amal Malaysia (Amal), Institute Muslim Woman (IMW) dan Haluan Malaysia manakala tiga lagi merupakan wartawan dan jurugambar akhbar Harakah.

Ketua misi, Jamulidin Elias yang merupakan Timbalan Presiden Amal memberitahu, matlamat mereka ke sana adalah untuk menyampaikan sendiri bantuan berupa makanan dan ubat-ubatan kepada mangsa mengikut keperluan mereka.

"Matlamat kami kali ini untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada mangsa di sana kerana ini merupakan amanah rakyat Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan mereka.

Sumbangan juga diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Kami kena pastikan bantuan ini sampai kepada mangsa. Sebab itu kami tidak akan beri bantuaan dalam bentuk wang kerana bimbang ia disalah guna oleh pihak tertentu di sana," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum berlepas pada jam 1.15 petang tadi.

Menurutnya,anggaran kasar jumlah kutipan adalah sebanyak USD7,700.

Beliau juga berkata, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan NGO-NGO di Pakistan sepanjang seminggu mereka di sana.

Sementara itu, Naib Presiden Amal, Dr Rani Osman memberitahu, mereka dinasihatkan agar tidak berada terlalu lama di sesuatu kawasan yang dilawati memandangkan cuaca yang tidak menentu dan terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kita gunakan konsep safety first. Kalau kita sendiri pun tidak selamat, bagaimana kita nak teruskan misi yang merupakan amanah rakyat Malaysia," kata beliau.

Sebelum ini, Amal telah menyertai misi kemanusiaan ke 27 buah negara antaranya Myamnar, Indonesia dan Palestin.

Kesemua mereka dijangka kembali ke Malaysia pada 6 September ini.

Sehubungan itu, mereka berharap agar rakyat mendoakan keselamatan dan dapat melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa dengan sebaik mungkin.
SPR, KPN dan AG di bawah parlimen jika PR kuasai Putrajaya
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Perkara pertama yang akan dilakukan Pakatan Rakyat jika memerintah negara adalah meletakkan beberapa konstitusi penting negara di bawah parlimen.

Ianya termasuk badan kehakiman seperti Ketua Hakim negara, badan penguatkuasa seperti seperti Ketua Polis negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara tersebut dimaklumkan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pada majlis berbuka puasa Naib-naib Presiden PAS bersama media alternatif di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Menurutnya, tindakan itu mahu dilaksanakan kerana tidak mahu Pakatan Rakyat melakukan kesilapan sama seperti yang dibuat Umno Barisan Nasional pada waktu ini.

"Kita akan buat satu pindaan perlembagaan meletakkan mereka ini di bawah parlimen.

"Kami bimbang jika dengan sistem yang ada ini, kami juga akan melakukan perkara sama seperti yang dilakukan BN.

Perkara tersebut juga ujarnya, antara keputusan yang telah dipersetujui bersama PAS, PKR dan DAP dalam konvenyen Pakatan Rakyat baru baru ini.

Selain itu Pakatan Rakyat juga berjanji akan melakukan pemulihan terhadap demokrasi negara mengikut apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan Malaysia.

Ianya termasuk kebebasan media, kebebasan berhimpun, hak bersuara dan sebagainya.

"Adakah anda mahu, kalau kami di Putrajaya nanti, dengan sistem yang ada sekarang ini tidak diubah, kami juga akan mencengkam media seperti yang Umno BN buat pada hari ini? " soalnya kepada lebih 50 warga media yang diraikan.

Turut serta pada majlis itu, Datuk Mahfuz Omar manakala seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis berbuka puasa di Istana Pahang.

Mahfuz dalam ucapannya pula melahirkan penghargaan kepada warga media yang banyak membantu PAS dalam usaha memperjelaskan isu semasa kepada rakyat.

Sehubungan itu, Mahfuz berharap usaha dan kerjasama antara kedua-dua pihak akan terus berlaku.
Bantuan raya: Kedah dicadang guna dinar, dirham
Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR, 31 Ogos: Ahli Dewan Negara, Senator Zambri Yusuf mencadangkan Kerajaan Negeri Kedah supaya membayar bantuan khas sempena Aidilfitri kepada kakitangannya dengan menggunakan Dinar atau Dirham Kelantan.

Menurut beliau, dengan penggunaan dinar atau dirham adalah sebagai satu kaedah yang positif bagi memastikan ekonomi bergerak dengan lebih lancar dan adil.

"Penggunaan mata wang ini mampu untuk mengurangkan risiko manipulasi dalam sektor ekonomi dan pasaran.

"Pendedahan penggunaan mata wang ini perlu dipromosikan kerana ketika ini masyarakat belum jelas mengenai ketetapan nilai dinar dan dirham yang bergantung kepada nilai pasaran emas," katanya.

Beliau yang juga mantan Pengerusi PKR Kedah berkata, sekiranya maklumat tepat dan jelas diberikan kepada masyarakat mengenai sistem yang akan diguna pakai ini, ia akan dapat diterima oleh semua pihak.

Oleh kerana itu Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu meneruskan usaha ke arah penggunaan dinar dan dirham dari aspek yang lebih praktikal.

"Rakyat juga dinasihatkan supaya tidak terperangkap dengan pemikiran sempit oleh segelintir pihak yang terlalu takut kepada kaedah alternatif yang sedang giat diperkenalkan di Kelantan," ujarnya lagi.

Kata Zambri lagi, penggunaan emas 22 karat pada dinar adalah lebih tahan lasak sebagai mata wang penggunaan harian.

Manakala kadar berat 4.25 gram adalah perbandingan yang amat jelas di antara nilai dinar dan nilai emas di pasaran.

Sebagai Penyelaras Pemilihan PKR Negeri Kedah, beliau juga menyatakan penjelasan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan membuktikan kajian terperinci dan mendalam telah mereka lakukan dalam aspek dan ciri-ciri penggunaan dinar dan dirham tersebut.
Isteri menteri pun tak tutup aurat di masjid
Mohd Ali Hashim

ALOR SETAR, 31 Ogos: Sebelum ini, ramai juga di kalangan isteri pemimpin negara dan menteri yang beragama Islam tidak menutup aurat dengan betul semasa menghadiri majlis di surau dan masjid.

Sehubungan itu, Kerajaan Pusat atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepatutnya mengeluarkan notis makluman kewajipan menutup aurat kepada semua pihak yang ingin memasuki surau atau masjid di negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul sebagai mengulas isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang didakwa tanpa menutup aurat telah berucap di ruang solat surau Al-Huda, Kajang Sentral baru-baru ini.

Beliau juga berharap notis yang dikeluarkan itu mampu untuk memberi penjelasan yang sebenar mengenai kepentingan menutup aurat dan menjaga kesucian masjid dan surau.

"Notis menjelaskan adab memasiki masjid atau surau perlu dikeluarkan sebagai rujukan masyarakat Islam dan juga yang bukan Islam dalam negara ini.

"Tidak dinafikan adanya unsur-unsur pilih kasih dalam isu ini kerana sebelum ini juga terdapat di kalangan isteri menteri yang beragama Islam sendiri memakai tudung tetapi tidak menutup aurat sewaktu hadir majlis di masjid.

"Manakala tuntutan menutup aurat bagi bukan Islam bukanlah sesuatu yang wajib bagi mereka," katanya lagi.

Mereka juga seolah-olah tidak memberatkan tuntutan agama supaya menutup aurat sebagai seorang isteri kepada pemimpin Islam dan memperlihatkan contoh yang patut diikuti kepada wanita Islam yang lain.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tokai menggesa mereka yang bertanggungjawab supaya menyediakan garis panduan tersebut kepada orang Islam dan bukan Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan, dan bukannya dengan memakai tudung tetapi rambut mereka masih kelihatan.
Umno juara fitnah, cetus sentimen agama
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana Umno terus memainkan intrumen fitnah bagi memburukkan Imej PAS dan Pakatan Rakyat, walaupun masih berada dalam bulan Ramadhan.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, tindakan cybertrooper Umno yang menggunakan nama "PAS Beruk" mencipta dan menyebarkan gambar super impose yang kononnya Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam dengan tagline "Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP??" adalah keterlaluan dan sengaja mencetus sentimen agama.

“DPPWP kesal kesal budaya fitnah terus membiak dalam Umno walaupun dalam bulan Ramadhan ini. Begitu jauh mereka tersasar dari hidayah Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, demi kepentingan politik mereka, gambar sedemikian dicipta, walhal gambar sebenar adalah menunjukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang menyembelih lembu korban untuk rakyat.

Katanya, gambar berkenaan sengaja direka dengan harapan rakyat melihat bahawa kerjasama PAS dan DAP kononnya merosakan Islam.

“Hal sebegini sudah berakar umbi dalam Umno sehingga diwarisi oleh anak-anak muda hingusan yang baru bersama Umno,” katanya.

Sebelum ini, media Umno-Utusan Malaysia memutar belitkan fakta dengan menyebarkan kepada rakyat yang ahli parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching beri 'tazkirah' dalam surau di mana ucapan aluan sengaja ditukar kepada 'tazkirah' bagi mencetuskan polemik awam.

Dua hari lepas, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga mantan Ketua Penerangan Umno pula menyebarkan fitnahnya dengan mengatakan PAS mahu rampas harta Cina semasa peristiwa 13 Mei dan PAS kononnya turut menyokong tindakan Indonesia menyerang Malaysia semasa konfrontasi.

“Semua ini adalah fantasi Umno. Kini mereka bermain gambar pula, sama seperti gambar Zaid minum arak yang mereka cipta di Hulu Selangor. Tindakan ini menunjukan Umno semakin kehabisan modal untuk burukkan PAS dan Pakatan rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, DPPWP berharap pemimpin dan ahli Umno bertaubat.

Katanya, semakin banyak fitnah disebar, semakin terdedah keburukan Umno, semakin banyak fitnah disebar, semakin meluat rakyat kepada Umno.

“Malulah kepada bukan Islam, malulah kepada umat Islam, malulah kepada Allah kerana perbuatan fitnah ini begitu jijik dan jauh lebih dahsyat dari membunuh. Ianya tidak akan diterima oleh mana-mana kaum dan agama sekalipun,” ujarnya lagi.
Popularkan agenda 'institusi reform'
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: PAS ajak penggerak media baru supaya mempopularkan agenda 'institusi reform', kata naib presidennya, Salahuddin Ayub.

"Mewakili PAS, betapa pentingnya PAS dan media ini mesti terus bersama dalam menggerakkan suatu reformasi.

"Apa yang diharapkan, rakan-rakan media akan terus bersama kami dalam mengagendakan kembali 'institusi reform' yang menjadi asas perjuangan kita bersama," ujarnya malam tadi pada Majlis Berbuka Buasa Bersama Media.

Agenda 'institusi reform' yang dimaksudkan adalah menawarkan kerangka reformasi pentadbiran yang jauh lebih baik bagi menggantikan sistem yang sedia ada dalam negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, 'institusi reform tersebut meliputi institusi mahkamah, Petronas, sistem demokrasi, Parlimen dan sebagainya.

"Sebaik PAS bersama Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, perkara pertama yang akan kami buat adalah reformasi di peringkat institusi," ujarnya.

Baginya, dengan mempopularkan 'agenda reform' kepada rakyat sebenarnya boleh menjamin masa depan Malaysia yang lebih baik, bukannya sekadar menggantikan Umno BN semata-mata.

"Bagi institusi reform ini dilakukan, apabila kami (Pakatan Rakyat) mengambil alih negara, kami tidak akan mengulangi kesilapan silam Umno BN disebabkan sistem yang ada (adalah) sistem lama," ujarnya lagi,

Sebelum pada itu, Datuk Mahfuz Omar, seorang lagi Naib Presiden PAS memuji beberapa wartawan media baru kerana begitu agresif mempopularkan inisiatif PAS dalam menumbangkan Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, ahli politik dan media mempunyai peranan masing-masing.

"Sebagai seorang ahli politik, ia tidak boleh berpisah daripada media, begitu juga media, mereka pun ada agenda."

"Selagi mereka tidak dapat berita, mereka akan cuba dapat," ujarnya.

Katanya, penggerak media baru akan menjadi kumpulan paling berkesan dalam menyalurkan maklumat pada rakyat sempena menghadapi PRU13 kelak.
Tandatangan online sokong hapus saman ekor
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap anak-anak muda seluruh negara dapat bersama menurunkan tandatangan secara online sebagai tanda sokongan menghapuskan saman ekor yang dilihat tidak mendidik pemandu sebaliknya memeras wang rakyat dengan cara halus.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini lanjutan daripada pelancaran Kempen Sejuta Tandatangan Bantah Saman Ekor yang dilancarkan pada 23 Ogos lepas di Bazaar Ramadhan Pasar Keramat.

Tambahnya, tandatangan bolehlah diturunkan di alamat http://www.petitiononline.com/saman/petition.html mulai sekarang dan akan berakhir pada 31 Oktober nanti.

Katanya, walaupun kempen itu sedang rancak gerak kerjanya di peringkat parlimen yang diuruskan oleh setiausaha DPP kawasan-kawasan, namun DPPP merasakan perlunya satu alternatif yang lain iaitu dengan melalui dunia siber yang semakin popular terutamanya di kalangan masyarakat bandar dan ibu kota.

“Kempen begini dirasakan perlu oleh DPPP dalam usaha untuk menarik masyarakat terutamanya golongan anak-anak muda untuk menyatakan sokongan supaya dapat bersama-sama DPPP bagi menyatakan sikap terhadap kerajaan Malaysia agar memansuhkan terus saman ekor, bukannya menangguhkannya,” ujarnya.

DPPP melancarkan kempen tersebut sebagai sokongan kepada usaha Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena melalui Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang begitu komited dalam menentang saman ekor.

Katanya, kempen itu dijalankan ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan ekoran mempunyai saman ekor.

Tambahan pula, ujarnya dengan rintihan rakyat tentang saman ekor yang jelas membebankan, maka DPPP mengambil ketetapan untuk mengumpul tandatangan membantah saman ekor dan sedang digerakkan ke seluruh negara yang mana kemudiannya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai tanda bantahan.

Saturday, August 28, 2010

Merdeka: Rakyat perlu azam kerajaan baru


Mohd Ali Hashim

JERAI, 28 Ogos: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara 31 Ogos ini, rakyat disarankan supaya menanam semangat baru dan keazaman dalam jiwa untuk memastikan negara mempunyai kerajaan baru pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) ketika mengulas ulang tahun Hari Kemerdekaan negara ke-53, Selasa ini.

Menurut beliau lagi, rakyat harus menyedari tempoh had pemerintahan dan kuasa yang ada pada Barisan Nasional (BN) sudah sampai ke penghujungnya.

Kata beliau lagi, dengan adanya pemerintahan baru ini, maka kebimbangan rakyat dalam pelbagai masalah yang sekian lama menjadi persoalan akan berakhir.

"BN tidak mampu untuk mengurus hal ekonomi rakyat dengan baik. Isu saman ekor belum selesai, datang pula isu air dan tanah.

"Pakatan Rakyat (PR) cadangkan pendapatan setiap rakyat adalah RM4 ribu, menghapuskan cukai dan membanteras penyelewengan yang berterusan di bawah pemerintahan BN," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun saranan itu hanyalah sebagai cadangan tetapi ia menampakkan idea yang membina dari kepimpinan PR jika dibandingkan dengan BN.

Beliau juga berkata oleh kerana itu, rakyat tidak lagi harus berdiam diri atas cadangan yang telah dibuat oleh PR baru-baru ini.

"Sebagai bukti Kerajaan Negeri Kedah telah pun menurunkan harga cukai tanah di Kedah. Syarikat Air Darul Aman (SADA) dikorporatkan dan bukan diswastakan. Rakyat mendapat bekalan air bersih tanpa bebanan harga yang mahal.

"Dalam situasi ekonomi rakyat yang tidak menentu ini pelbagai sekatan dikenakan oleh Kerajaan Pusat. Slogan mereka rakyat didahulukan hanya mendahulukan rakyat dalam bebanan bagi merealisasikan hasrat dan pencapaian kerajaan diutamakan," tambahnya lagi.
Raya: Kedah belanja RM3 juta untuk kakitangan


Mohd Ali Hashim

YAN, 28 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah turut menghargai kakitangan awam negeri dengan membelanjakan sebanyak RM3 juta sebagai bayaran khas menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bayaran sebanyak RM500 setiap orang itu diberikan kepada semua kakitangan sehingga kumpulan Gred 54.

Menurut beliau lagi, semua kakitangan akan menerima bayaran tersebut dalam tempoh seminggu sebelum hari raya.

"Dengan sumbangan ini, ia dapat menampung keperluan keluarga dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun sumber kewangan kerajaan negeri adalah terhad, berkat daripada tindakan kerajaan negeri melaksanakan penjimatan dalam pentadbiran, maka hasil tersebut dapat dikongsi bersama sebagai satu penghargaan kepada semua kakitangan," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah berkata, apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kali ini adalah kadar yang termampu.

Azizan berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada guru Al-Quran dan bidang kampung di Kampung Teroi, Yan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian wang khas sebanyak RM400 sempena Aidilfitri kepada 3,577 kakitangan awamnya.

Ia kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat yang mengumumkan pemberian sebanyak RM500 manakala Selangor, Pahang, Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan dalam pemberian wang tersebut menjelang Aidilfitri yang akan datang.
Mahasiswa berpolitik: Saifuddin tetap optimis
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah tetap optimis bahawa Kabinet boleh mengubah keputusan untuk membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik.

Menulis dalam blognya beliau berkata, ianya bukan sesuatu yang mustahil kerana beberapa keputusan kabinet sebelum ini juga boleh berubah setelah ada input dan perkembangan baru dalam sesuatu perkara.

"Kabinet juga pernah mengubah keputusannya apabila hadir maklumat baru dan realiti baru termasuk mengubah keputusannya daripada kandungan AUKU pada 1975 kepada kandungan AUKU pada 2009," katanya.

Kabinet sebelum ini menolak cadangan agar mahasiswa dibenar berbuat demikian.

Saifudin juga turut mengharapkan isu ini terus dibincangkan secara terbuka termasuk oleh mahasiswa, tanpa ada sebarang halangan dari mana-mana pihak.

Menurutnya lagi, matlamat utama cadangannya agar mahasiswa dibenar menjadi ahli politik adalah untuk memenuhi hak mahasiswa sebagai warganegara Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu ianya juga bagi mematangkan demokrasi Malaysia dengan meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan pelajar IPT, dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Sehingga kini ujarnya, beberapa akta masih menghalang mahasiswa terlibat dalam politik.

Ianya termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan 2009) untuk IPTA, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib 1976) untuk UiTM, Politeknik dan Kolej Komuniti; dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan 2009) untuk IPTS.

Manakala halangan lain katanya adalah mentaliti negatif seperti tidak percaya kepada pelajar IPT, memperlekehkan pelajar IPT, menggunakan teknik “culture of fear” (menakut-nakutkan) untuk mengongkong kebebasan pelajar IPT, kerangka politik lama yang tidak memahami realiti semasa dan sebagainya.

"Di samping itu, terdapat juga sindrom “anti-pemikiran” dan “anti-intelektual” yang menolak atau tidak senang melihat idea-idea baru didebatkan, didialogkan dan dihujahkan secara terbuka, rasional dan bijaksana," katanya.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS sedang merangka pertemuan dengan Saifuddin dlam usaha membincangkan isu tersebut.
Masuk surau: DAP mahu Mais siasat terperinci
Harakahdaily

SHAH ALAM, 28 Ogos: Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya membuat siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan kepada mana-mana pihak.

Beliau merujuk tindakan serta merta Mais berhubung insiden Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki dan berucap di Surau Al-Huda dua hari lalu.

Menurutnya, beliau tidak mahu isu tersebut dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia, UMNO dan Perkasa sebagai satu isu politik dan perkauman untuk merosakan keharmonian masyarakat kita.

"Saya juga berasa kesal atas tindakan Mais yang mengeluarkan amaran kepada YB Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang dan mengantung Jawatankuasa Surau Al-Huda dengan serta-merta kerana Teo telah berucap di surau tersebut dua hari yang lalu.

"Saya dimaklumkan oleh Teo bahawa beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM 1000 kepada Jawatankuasa Surau dan dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata," katanya.

Menurutnya, Teo hanya menerangkan maklumat tentang skim pinjaman pengajian tinggi Negeri Selangor kepada umat Islam yang hadir dan langsung tidak menyentuh apa-apa isu politik dalam ucapan ringkas tersebut.

"Beliau melawat ke surau tersebut dengan hati yang penuh ikhlas sempena bulan Ramadhan yang suci."

"Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, beliau perlu membantu semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya.
Umno mahu Taib Undur, untuk kuasai Sarawak
Harakahdaily

PAS melihat Umno kini terdesak untuk menyingkirkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas
kekalahan yang memalukan BN di Sibu baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, tekanan tersebut sama seperti dilakukan Umno ketika mahu menjatuhkan Mahathir dan Pak Lah.

Ianya sewaktu kedua-duanya dituduh sebagai punca Kekalahan BN dalam pilihanraya Umum 1999 dan 2008.

Umno ujar Idris mahu menguasai Sarawak dengan menyingkirkan Taib yang kini presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ini kerana di Semenanjung Umno sudah kehilangan sokongan majoriti besar rakyat Melayu.

"PAS melihat, kejatuhan Taib Mahmud akan menjadi perintis kepada pembubaran PBB sama seperti USNO yang lenyap selepas Umno tiba di Sabah.

"Umno kini bercita-cita untuk menjadikan negeri itu sebagai destinasi terbarunya berikutan trend sokongan rakyat kepada BN di Borneo yang masih lagi memberikan ruang untuk Umno-BN bernafas," katanya.

PAS juga katanya sedar parti-parti komponen BN yang lain sudah muak melihat keangkuhan Umno yang mahu mendominasi BN.

"PAS menasihatkan agar parti-parti komponen BN memikirkan kerelevenan untuk mereka bersama Umno yang kini seolah-olah dilihat sedang menjadi "Maharaja dalam BN".

"Pas menyeru supaya parti komponen BN dipersilakan untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk kita membentuk satu kehidupan baru," pelawanya.

Monday, August 9, 2010

Kerajaan wajar benarkan mahasiswa berpolitik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Sudah tiba masanya kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Fadzil Jamal (gambar) berkata, kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berketrampilan tinggi.

Sehubungan itu, MPMN katanya mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.

“Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan,” ujarnya pada sidang media di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, tengah hari tadi .

Sesungguhnya, kata beliau proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berketrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, MPMN berpandangan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas.

Ini, katanya kerana mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.

Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik.

Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu itu. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respons yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.

“Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan,” ujarnya.
Perjuang diskaun rumah mewah tetapi lupa subsidi dipotong
Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas pengampu-pengampu pemimpin Umno yang hanya memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera tetapi berdiam diri terhadap pemotongan subsidi.

"Sikap mereka yang membisu seribu bahasa terhadap pemotongan subsidi yang ternyata membebankan rakyat terutama menjelang musim perayaan ini membuktikan sikap mereka yang bukan sahaja tidak prihatin malah tidak peduli sama sekali terhadap penderitaan rakyat terutama yang berpendapatan rendah," katanya.

Malah, katanya lagi, mereka bersekongkol dengan tindakan kerajaan yang hanya berani merampas subsidi dari rakyat dan mengumumkan kenaikan harga barang sebaik sahaja sesi Parlimen selesai bersidang.

Beliau mendedahkan, tidak ada sebarang pandangan diminta mahupun perbicangan secara khusus dibuat bersama-sama Ahli Parlimen sepanjang Parlimen diadakan.

"Selepas tamat sesi Parlimen, kerajaan terus umum kenaikan harga barang tanpa berunding dengan rakyat. Masa bila kerajaan berunding dengan rakyat?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Pengampu-pengampu pemimpin Umno yang membuat bising menentang pemotongan diskaun rumah mewah itu juga lansung tidak peduli terhadap nasib hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700, katanya.

"Bila harga minyak dan harga barang makanan dinaikkan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), bukan harga barangan tersebut sahaja yang naik harganya tetapi, seperti yang berlaku sebelum ini, ia akan mengakibatkan kesan berganda dan barangan lain juga naik harga.

"Kenaikan harga minyak akan mengakibatkan kenaikan kos pengangkutan dan dengan sendirinya harga begitu banyak barangan lain akan naik harga.

"Kenaikan harga gula pula akan mengakibatkan kenaikan harga makanan dan minuman lain. Beberapa hari lagi kita akan menyambut Ramadhan, pergilah ke pasar-pasar Ramadhan dan lihat sendiri adakah pelbagai juadah yang menggunakan gula sebagai bahan akan tetap sama harga?

"Kalau tidak dinaikkan harga pun, biasanya para peniaga terpaksa mengurang kuantiti atau mengecilkan saiz," kata Mahfuz.

Tetapi, katanya, para pemimpin Umno dan pengampu-pengampu mereka tidak peduli penderitaan rakyat akibat kenaikan harga barang itu.

"Saya yakin, sebahagian besar dari 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700 itu adalah adalah orang-orang Melayu Islam yang akan menyambut Ramadhan kali ini dengan penderitaan akibat kenaikan harga barang.

"Malang bagi mereka kerana orang-orang Umno hanya sibuk dengan memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera.

"Maklumlah, mereka yang hendak beli rumah-rumah itu kerana pekerja yang berpendapatan bawah RM700 sebulan tentu tidak mampu membeli rumah-rumah mewah itu," kata Mahfuz.

Agenda perpaduan: Umno kini rasa terancam
Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Umno akan sentiasa bertindak untuk mengekalkan kedudukannya sebagai teras politik negara ini terutama sekali jika merasa kedudukannya terancam, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau mengulas cadangan dan usaha yang dibuat Umno terutama melalui medianya Utusan Malaysia sejak akhir-akhir ini yang cuba memancing PAS agar berpadu dengannya atas nama kepentingan Melayu dan Islam.

"Sejak dari awal perkembangan politik negara, iaitu sejak dari merdeka lagi sampai kini, Umno dan BN (dahulunya Perikatan) memang sentiasa menjadi teras politik negara. Dan Umno sememang akan berusaha untuk mempastikan dia kekal menjadi teras politik negara sepanjang masa. Tetapi dalam tempoh tertentu Umno terasa kedudukan ini terancam. Ketika itu, Umno akan ada agenda tersendiri untuk mempertahankan kedudukannya itu," kata Mustafa.

Mustafa dipercayai mengulas usaha Umno untuk memancing PAS agar bersatu dengannya kerana merasakan kedudukannya terancam selepas pilihan raya umum ke 12 lalu.

Mustafa berkata demikian dalam wawancara khasnya dengan akhbar politik Siasah pagi tadi. Wawancara penuh bakal diterbitkan hujung minggu ini (Jumaat). Dalam keluaran terbarunya, Siasah menyiarkan wawancaranya dengan Tun Dr Mahathir.

Antara lain, Dr Mahathir mendakwa PAS menjaga kepentingannya sendiri semasa dalam BN menyebabkan PAS ditendang dari BN. Mahathir juga mendakwa, Melayu kini minoriti selepas berpecah kepada tiga iaitu Malyu Umno, PAS dan PKR.

Menurut Mustafa dalam wawancara itu, selepas peristiwa 13 Mei, Umno buat pertama kali terasa kedudukannya terancam apabila PAS menang di banyak kerusi dan Gerakan juga menang besar dalam pilihan raya itu.

"Ekoran peristiwa 13 Mei dan melalui Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak berbincang dengan Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Asri Muda. Umno juga berbincang dengan Gerakan. Saya yakin kedua-duanya (Tun Razak dan Asri) ikhlas untuk menjaga kepentingan Melayu Islam dan negara ketika itu. Apabila PAS berada dalam BN, dalam kerajaan, fenomena baru berlaku. Kalau selama ini banyak sektor masyarakat yang takut bersama PAS kerana PAS adalah parti pembangkang, ia telah berubah," kata Mustafa.

Selepas itu, katanya, PAS ditendang keluar dari BN.

Mustafa juga menolak, orang Melayu kini berpecah tiga dan menjadi minoriti dalam negara ini sebagaimana didakwa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir apabila mendakwa Melayu kini berpecah tiga iaitu dalam Umno, PAS dan PKR.

"Apakah ia bererti Melayu berpecah? Bagi saya tidak asalkan masing-masing tahu matlamat dan dasar yang murni perlu diperjuangkan bersama. Sepanjang masa, kita sentiasa berkata, PAS akan menyokong Umno dalam melaksanakan Islam dan untuk kepentingan orang Melayu di negara ini. Sejarah membuktikan PAS tidak pernah menghalang usaha sebegini. Yang sentiasa menghalang adalah Umno sendiri," kata Mustafa.

Baca wawancara penuh dengan Datuk Mustafa dalam Siasah Jumaat ini.