Free Website Hosting

Tuesday, June 15, 2010

Lesen judi: Pemuda PUM bantah Mahathir


Mohd Dzul Khairi

Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) membantah sekeras-kerasnya pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokong kelulusan lesen judi yang digembar-gemburkan sekarang. Pandangan tersebut adalah jauh menyimpang daripada sifat keagamaan yang mengharamkan judi dan menyamakannya dengan peranan iblis.

Judi dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-maisir, yang bererti mudah. Mudah mendapat keuntungan, mudah juga jatuh kerugian, malah sangat mudah menimbulkan sengketa dan pergaduhan. Judi merupakan sifat manusia yang tidak bertamadun dan jauh daripada semangat berdikari rakyat Malaysia.

Dahulu ada pandangan mahu memberikan jarum suntikan percuma kepada penagih dadah. Pemuda PUM melihat, ini semua berpunca daripada pemikiran Barat yang diwarisi oleh beberapa orang pemimpin di samping liberalisasi pemikiran yang semakin bertunjang kukuh di negara ini.

Tun Dr Mahathir mengatakan lesen judi dibuat untuk mengawal aktiviti perjudian. Ini merupakan satu pemikiran yang amat naïf. Jika begitu, kami cadangkan agar dibuat rumah untuk orang melakukan aktiviti persetubuhan haram. Kami juga mahu cadangkan agar kerajaan menyediakan satu tempat yang khusus untuk penagih dadah. Dalam masa yang sama, kami cadangkan agar arak dijual secara halal di mana-mana premis dengan tujuan pembendungan dan pengawalan.

Namun Islam tidak bersifat begitu. Cara Islam mengawal bukan dengan memberi dan meluluskan lesen. Cara Islam mengawal ialah dengan menyekat, mendidik dan menakut-nakutkan tentang bahaya dan risiko. Apa lagi orang yang berjudi akan boleh membawa risiko kepada keluarga mereka masing-masing.

Apabila Islam mengharamkan zina, Islam menyatakan “Jangan mendekati zina”. Mukaddimah kepada zina pun tidak boleh, apa lagi perzinaan. Orang yang kalah berjudi ada yang menggadaikan maruah isteri sendiri. Apabila Islam melarang Nabi Adam daripada makan buah khuldi, Allah mengatakan “Jangan mendekati pokok buah khuldi”, bukannya Allah mengatakan “Jangan makan buah”. Inilah Islam.

Apapun, Pemuda PUM tidak hairan dengan pemikiran naif Tun Dr Mahathir kerana beliau dahulu pun banyak menyindir hukum-hakam Islam. Mulut beliau petah berbicara dan lantang bersuara tentang pembebasan Palestin tetapi sifat beliau mewarisi keburukan Bani Israel. Palestin tidak akan bebas dan tidak memerlukan kapal Global Peace sekiranya pemimpinnya masih bersikap demikian, meskipun 1,000 buah kapal sekalipun berjaya sampai di Gaza.


Mohd Dzul Khairi Mohd Noor,
Ketua Pemuda PUM


Anwar paling layak pemimpin utama PR - Nik Aziz
Harakahdaily

KOTA BHARU, 14 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu Pakatan Rakyat kerana beliaulah paling layak dan sudah teruji.

“Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

“Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," kata Nik Aziz kepada media selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di sini hari ini.

Nik Aziz juga berkata, Anwar juga telah lulus ujian dari segi moralnya apabila menghadapi segala cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi.

Beliau ditanya apa komen beliau terhadap cadangan seorang perwakilan dalam muktamar PAS selepas kejayaan beliau memimpin PAS dan kerajaan negeri Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Sebelum ini, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai PKR mencadangkan agar Nik Aziz dilantik sebagai Pemimpin Spiritual (Spiritual Leader) Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: “Tidak mengapa, saya terima daripada segi sifat orang melihat saya.”

Sunday, June 13, 2010

Israel takutkan perpaduan umat Islam

Nazri Abdullah

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Wakil Hamas, Dr. Munir berkata Zionis Israel sangat takut kepada perpaduan umat Islam yang dianggap senjata ampuh yang boleh memusnahkan mereka.

Berucap dalam ceramah sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Putik malam tadi beliau berkata, Zionis tahu kekuatan orang Islam dan mereka kini cuba membuatkan umat Islam berpecah.

"Orang yahudi tahu kekuatan Islam iaitu perpaduan.

"Mereka juga saban tahun mengadakan muktamar, merangka strategi bagi menghalang kewujudan Salahuddin Al-Ayyubi kedua.

"Mereka paling takut untuk melihat orang Islam solat Subuh di masjid seramai solat Jumaat," katanya.

Terdahulu beliau berterima kasih kepada PAS di atas jemputan dan mengharapkan muktamar PAS kali ini meneguhkan lagi perjuangan Islam di Malaysia.

Ujian paling besar umat Islam seluruh dunia hari ini katanya adalah berdepan kekejaman Zionis Israel.

"Kita dipilih untuk bersama berdepan dengan rejim ini," katanya lagi.

Beliau juga melahirkan keyakinan kepungan ke atas Palestin akan pecah sedikit masa lagi dengan perpaduan umat Islam seluruh dunia.

Turut berucap pada ceramah malam tadi, wakil gerakan Islam Maldives dan MILF (Moro).

Lebih dua ribu rakyat Kelantan memenuhi perkarangan Putik malam tadi.
Kutuk Israel: Umno tipu rakyat terang-terangan-Presiden

Nazri Abdullah

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai penipu besar apabila mendakwa mengutuk Israel sedangkan pada masa sama menghalalkan judi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, antara strategi Zionis Israel merosakkan akhlak orang Islam adalah dengan memastikan mereka terlibat dengan judi dan rasuah.

"Bila kerajaan Malaysia menghalal judi, ini satu penipuan besar."

"Kata tentang Israel tapi lulus judi bola, ini bukan silap mata, tapi terang-terang depan mata," katanya pada ceramah khas sempena muktamar di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) malam tadi.

Tindakan kerajaan itu katanya bukan aneh kerana penubuhan Umno itu sendiri adalah dibawah tajaan British.

Tambahnya lagi, Zionis sememangnya mahu melihat umat Islam rosak dan berpecah belah demi menjayakan hasrat mereka merampas bumi Palestin bagi menubuhkan Israel Raya.

Mereka ujar Ustaz Hadi, sedang membuat perancangan halus merosakkan ekonomi, politik dan akhlak orang Islam agar lemah.

Sehubungan itu, PAS tegasnya akan bersama umat Islam Palestin menentang Zionis Israel.

Perjuangan membebaskan Palestin katanya bukan baru bagi PAS kerana pimpinan-pimpinan PAS sejak di zaman penubuhannya lagi telah memperjuangkan isu Palestin.

"PAS ditubuhkan tahun 51 oleh tokoh gerakan awal Islam di Tanah Melayu, dan kita adalah penyambung perjuagan itu," katanya.

Turut berceramah malam tadi adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan wakil gerakan Islam luar negara termasuk dari Hamas, Maldives dan MILF (Moro
Siapa kata orang Melayu lari dari PAS?

Hamba Allah

Aku cukup setuju dengan perwakilan Shah Alam, Khalid Samad. Siapa kata orang melayu beralih dari sokong PAS.

Memang sebenarnya orang melayu tak pernah sokong PAS. Pasainya selama ini yang sokong PAS adalah orang Islam yang nakkan kepada Islam. Realitinya, kata YB Khaild Samad, sokongan orang melayu kepada PAS meningkat hampir 300% dari orang melayu.

Memang sebenarnya pun sokongan orang melayu kepada PAS sebelum ni pun tak banyak mana. Yang pernah dapat banyak pun mungkin lebih sikit masa PRU tahun 99, tapi tu pun diragui sebagai sokongan padu kepada PAS.

Realitinya, PRU sebelum-sebellum ni, PAS biasa sangat kalau hilang wang pertaruhan terutama sekali di sebelah negeri Johor.

Ramai yang kata orang melayu lari dari PAs sebenarnya cuma persepsi yang timbul bila sokongan orang bukan Islam kepada PAS tiba-tiba meningkat dengan cukup mendadak sampai PAS berjaya menubuhkan Dean Himpunan Penyokong Pas yang dinaik taraf dari Kelab Penyokong PAS.

Persepsi tu nampak lagi jelas bila keadaan di Perak dan Penang dijadikan contoh. Di Perak PAS cuma berjaya menang 6 kerusi Dun dan 2 kerusi Parlimen. Yang lainnya calon PAS kalah kepada calon Umno BN. Di Penang pulak calon PAS kalah di semua kerusi kecuali kerusi Dun Permatang Pasir.

Walau apa pun. Pas memang amat-amat memerlukan peningkatan sokongan orang melayu untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen dan Dun. Sebabnya memang kebanyakkan kerusi yang calon Pas bertanding adalah kerusi majoriti melayu. Bukan takat majoriti tapi peratus pengundi melayu melebihi 70%.

Kalau kerusi tu 80% pengundi melayu, maknanya PAS kena dapat sokongan hampir 50% untuk mejamin kemenangan calon Pas.

Jadinya, aku sangat mengharapkan semua pihak dalam Pas meningkatkan lagi gerakerja untuk menarik sokongan orang Melayu. Tambah-tambah lagi aku mengharapkan Dewan Ulama' memulakan geerakerja berperancangan untuk pastikan sokongan orang Melayu Islam beralih dari menyokong Umno BN kepada menyokong PAS Pakatan Rakyat.

Bukan maksud aku Dewan Ulama' tak buat apa-apa tapi aku cuma nak bagitau aku tak nampak apa yang Dewan Ulama' buat selama ni. Dan aku rasa tak salah kalau kita letakkan tanggungjawab yang paling utama kepada Dewan Ulama' untuk tarik sokongan orang Islam sendiri kepada Pas.

PAS Pusat diminta desak mufti hadir demontrasi

Wartawan Kita

KOTA BHARU, 12 Jun: PAS Pusat diminta menghantar surat kepada mufti-mufti di seluruh negara untuk mendesak mereka turun padang membantah judi bola sepak yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada perhimpunan 3 Julai ini.

Perwakilan Teberau, Shamsul Bakri berkata, semua pihak termasuk mufti perlu hadir pada demontrasi itu sebagai menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan meluluskan lesen judi terbabit.

"Kita juga perlu tetapkan diri hadir pada demontrasi yang diadakan badan-badan Islam biar pun bukan dikendalikan di bawah PAS.

"Kita kena bertindak secara berterusan bagi memansuhkan semua jenis judi di negara ini," katanya ketika menyokong usul Dewan Pemuda PAS Pusat yang mendesak kerajaan memansuhkan judi sukan.

Usul itu mendesak kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

Pada 3 Julai depan himpunan 100,000 mansuhkan judi bola akan diadakan di Kuala Lumpur bagi menyerah memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Shamsul berkata, gerakan membantah judi akan dimobilisasi secara berterusan pada bila-bila masa sahaja bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat.

"Kita akan turun sekali lagi bagi menentang kelulusan lesen judi-judi lain. Tidak kiralah judi nombor ekor, judi di laut, judi di atas gunung," katanya sambil menyokong penuh usul tersebut.

Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Fadzli Saari turut meminta semua rakyat turun membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak pada 3 Julai ini.

Katanya, ketika demontrasi itu diadakan perlawanan bola sepak Piala Dunia baru masuk pusingan suku akhir.
                  
PAS tidak tukar prinsip biar pun tewas

Wartawan Kita

KOTA BHARU, 12 Jun: PAS sebuah parti yang paling konsisten di negara ini biar pun banyak kali kecundang dalam pilihan raya namun tidak pernah menukar dasar parti itu semata-mata bagi meraihkan kemenangan.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mokhtar Senik berkata, PAS akan hancur sekiranya dasar parti itu ditukarkan semata-mata bagi meraihkan kemenangan pilihan raya.

"Tetapi alhamdulillah PAS tetap kekal dengan dasarnya dan tidak berubah walaupun mengalami jatuh dan bangun dalam politik. Kalau berjuang selain daripada Islam kita akan hina.

"Kita berjaya membawa perubahan dengan prinsip Islam. Kita perkenalkan Islam di tengah-tengah masyarakat umum. Kita dedahkan kepada mereka mengapa perlu sokong PAS. kita memberi ilmu kepada rakyat, sebarkan hujah berdasarkan kepada ilmu," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden, pada muktamar hari ini.

Beliau juga berkata, ada orang Islam takut hendak sokong PAS kerana terpengaruh ajaran sesat yang disebarkan Umno.

Katanya, sebab itu kita perlu membuat taklimat, penerangan dan diskusi mengenai kehebatan Islam. Kita perlu terangkan bahawa Islam itu adil. Dan InsyaAllah akhirnya mereka boleh terima.

Kata beliau juga kejayaan PAS mendekati orang bukan Islam menyebabkan Umno menjadi kepanasan dan takut sehingga mereka cuba mempengaruhi orang ramai bagi mengelirukan mereka.

Beliau berkata, Umno mencanangkan kepada rakyat di seluruh negara tidak perlu lagi memberi sokongan kepada PAS kerana kononnya parti itu sudah mengubah dasar perjuangan disebabkan menerima orang bukan Islam sebagai ahli parti.

Katanya Umno mempengaruhi rakyat supaya tidak lagi menerima PAS kerana sudah terpesong berbanding asal perjuangan asal.

"Inilah sebenarnya menggambarkan Umno begitu takut dengan ilmu sehingga mampu memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat. Umno takut hujah ilmu yang ada mampu menentang kebatilan," katanya.

Beliau juga menganggap ucapan dasar presiden PAS semalam bertepatan dengan situasi semasa lanskap politik tanah air yang semakin mencabar sekarang dengan mengenegahkan Islam adil untuk semua.
Ancaman: Zailah serah kepada peguamnya

Harakahdaily

KOTA BHARU, 12 Jun: Anggota Parlimen Kawasan Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, akan menyerahkan kes laporan polis yang dibuat bekas anggota sukarelawannya Ahmad Syauqey Abd Ghani kepada peguamnya sama ada untuk mengambil tindakan atau sebaliknya ke atas Syauqey.

Menurutnya, pada masa yang sama juga beliau akan bekerjasama dengan pihak polis berhubung siasatan terhadap laporan ‘ancaman’ yang dikemukakan oleh Syauqey.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya di sini sebentar tadi sebagai merujuk laporan media berhubung ancaman bunuh terhadap Syauqey.

Katanya, beliau mengetahui laporan polis yang telah dibuat oleh bekas anggota sukarelawannya itu dalam sebuah media dan tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung perkara itu yang dikatakan telah diserahkan kepada Dewan Muslimat PAS Pusat.

“Saya tidak menerima sebarang suratpun dari dia, saya tak tahupun perkara itu. Hanya tahu dalam media saja,”ujarnya.

Zailah seterusnya mendakwa, beliau hanya difitnah oleh Syauqey memandangkan tidak pernah mengeluarkan kenyataan ancaman sebagaimana yang dimaksudkan.

“Tengok keadaan saya ni, percaya ke saya nak buat perkara macam tu orang kata pijak semutpun tak mati,”ujarnya.

Beliau juga tidak menolak, mungkin ada orang ketiga yang merancang perkara ini.

Jika tidak, sambungnya, Syauqey tidak akan berani berbuat demikian seorang diri.

“Tengoklah kat muktamar ni pun dia datang. Saya rasa ada orang lain dibelakangnya yang menyokong tindakan itu,”ujarnya.

Ketika ditanya kemungkinan ada sesuatu yang menyebabkan perkara itu berlaku, Zailah berkata beliau hanya menegur Syauqey beberapa kali berhubung tindakannya yang begitu tidak wajar.

Sambungnya, selain memasukki biliknya tanpa kebenaran, mengambil kerani baru sebagai pembantu di pejabat tanpa pengetahuannya, ada lagi beberapa perkara lain yang telah dilakukannya.

Beliau juga turut menafikan telah mengeluarkan kenyataan berupa ancaman ugutan terhadap bekas anggota sukarelawannya itu, sebaliknya beliau telah difitnah.

Friday, June 11, 2010

Persiapan perlu rapi sebelum ke Putrajaya

Izwan Abdul Halim

KOTA BHARU, 11 Jun: Hasrat PAS untuk menuju ke Putrajaya perlu disusuli dengan persiapan
secara bersungguh-sungguh sehingga ia mampu menjadi kenyataan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, banyak orang mempunyai
cita-cita besar tetapi ia sekadar angan-angan sahaja.

Beliau berkata, untuk menjadikan cita-cita itu kenyataan, perlu tindakan dilakukan bagi
memperkukuhkan PAS itu sendiri.

Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-56 di Pusat
Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan, Pengkalan Chepa, petang tadi katanya usaha memperkasakan ahli
di seluruh peringkat parti perlu dilakukan.

Katanya juga berlaku peningkatan jumlah cawangan dan ahli PAS sekarang, namun beliau khuatir
kemasukan itu sekadar ikutan sahaja tanpa ada alasan yang kukuh.

"Parti perlu susun program kefahaman khusus kepada ahli baru. Kita tidak mahu yang masuk
terikut kawan atau sahabat, atau seronok ramai masuk PAS dia masuk PAS. PAS perlu merancang
perkara ini," ujar beliau.

Selain itu katanya, ahli lama pula perlu diberi perhatian dari segi meningkatkan kefahaman
semasa mereka kerana senario politik sekarang amat berbeza.

Beliau berkata, jangan pula dilupakan orang yang telah berjuang bersama kita kerana terlalu
asyik dengan rakan-rakan baru.

Kata beliau dahulu PAS bersendirian tetapi kini bersama rakan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, perubahan yang berlaku itu perlu difahami dan dasar-dasar parti wajib terus
dipertahankan.

Bagi melaksanakan usaha ke arah itu katanya, ia memerlukan usaha yang tersusun dan
terancang.
Umno bukan pejuang bangsa dan agama
Muhd Yusri Amin

KOTA BHARU, 11 Jun: Perwakilan Perak, Drs Khalil Idham Lim Abdullah menolak Umno sebagai
parti yang memperjuangkan bangsa dan agama di negara ini kerana sanggup bersekongkol dengan
APCO Worldwide.

Beliau berkata, dosa-dosa Umno perlu diterangkan kepada rakyat sehingga mereka merasa jijik
untuk terus menyokong parti itu.

Katanya, apabila rakyat faham mengenai kedudukan sebenar, Umno akan menghadapi masalah pada
pilihan raya umum ke-13 untuk mengekalkan kuasa.

Ketika membahas usul ucapan dasar Presiden di Putik petang ini beliau berharap PAS terus
menggalas usaha untuk memasyarakatkan aktiviti bersama orang ramai.

"Tidak cukup untuk memberitahu rakyat perlu menolak Umno, tetapi hendaklah semua pihak dalam
PAS terutama mereka yang menang dalam pilihan raya lalu hendaklah memasyarakatkan PAS, PAS
Untuk semua," katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya konsep 'parti menerajui kerajaan' sebagaimana
dipertegaskan ketika pemerintahan Pakatan di Perak sebelum ini.

Pakatan Rakyat di Perak, menurut Khalil bermula dari Gagasan Rakyat yang diketuai bekas
pesuruhjaya, Ahmad Awang.

Beliau juga berkata, rampasan kuasa yang berlaku di Perak merupakan peristiwa yang sukar
dilupakan rakyat di negara ini.

"Namun pengajaran dari rampasan kuasa itu membawa anjakan kepada rakyat memberi sokongan
kepada PAS dan Pakatan," katanya sambil menyifatkan kelainan sambutan terhadap muktamar kali
ini.

Perwakilan Terengganu, Saiful Bahri Mohamad berkata, tema PAS Untuk Semua perlu diuar-uarkan
dengan seluas mungkin.

Ini kerana beliau yakin bahawa perjuangan atas nama Islam tidak pernah diragukan, bahkan
sejak 1959 hingga kini ahli dan pimpinan PAS beristiqamah dengan dasar perjuangan.

Ini berbeza dengan pemimpin Umno yang mengekalkan peraturan penjajah. Bahkan pada 1961, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman tidak mahu campur undang-undang Tuhan dengan undang-undang PAS bagi mengelakkan kononnya negara menjadi kacau bilau.

"Bagaimanapun, Umno pada PRU-12 lalu jelas menampilkan gelagat bagai 'harimau luka'
bertindak macam kehilangan panduan. Mereka mencalarkan imej negeri yang dikuasai Pakatan
bagi menaikkan imej Najib," katanya.

Justeru beliau mahu ahli dan pemimpin Pakatan menjauhi maksiat kerana ia menghalang kepada
kejayaan gerakan Islam. Dan dalam masa sama negeri dikuasai Pakatan hendaklah mempamerkan
imej yang baik.
Penekanan 4 prinsip muafakat Pakatan penting - Setiausaha Agung PKR


Bashir Ishak

KOTA BHARU, 11 Jun: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar PAS ke 56 hari ini suatu ucapan yang komprehensif, lengkap dan menyeluruh mencakupi pelbagai perkara penting.



Antara lain menurutnya, Presiden PAS telah memberi penegasan semula terhadap empat prinsip muafakat rakyat yang telah diputuskan dalam konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam beberapa bulan lalu.



"Ini termasuk mempertahankan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau di samping menjamin hak-hak orang Melayu dan bangsa asal.



"Dalam acara penting seperti ini dalam kalendar tahunan PAS untuk Presiden PAS kembali memperingatkan beberapa prinsip yang membawa kesepakatan dan muafakat di kalangan parti Pakatan Rakyat yang saya anggap sebagai satu peringatan yang signifikan untuk mengimbau kembali asas-asas kita dapat duduk bersama," katanya.



Mengulas lanjut, Saifuddin menganggap ucapan dasar ini penting bagi membentuk kekuatan dalaman PAS itu sendiri.



"Presiden PAS telah mengingatkan kembali asas-asas kekuatan PAS sebagai sebuah parti khususnya dalam mengingatkan kembali tugas utama dewan-dewan Ulama, Pemuda, Muslimat serta Dewan Himpunan Penyokong PAS.



"Di samping itu, Presiden PAS juga mengingatkan perwakilan tentang pentingnya untuk membina kekuatan dalaman parti. Presiden PAS juga turut membawa keluar untuk lihat senario politik dunia samada di timur atau barat.



"Dari perspektif Pakatan Rakyat saya lihat ucapannya lengkap dan menyeluruh yang memberi mesej untuk diamati oleh komponen parti," jelasnya.



Sementara itu, perwakilan dari Kapar Selangor, Dr Rani Osman (gambar) meminta supaya ahli PAS lebih terbuka dengan ilmu-ilmu baru dan meminta semua pihak turun ke bawah untuk bertemu rakyat.



"Semua peringkat dalam PAS kena turun ke bawah dan bertemu dengan semua sektor masyarakat bagi menyampaikan mesej PAS kepada rakyat. Kalau ucapan ini tidak di bawah ke bawah ia akan kekal dalam buku ucapan sahaja," kata beliau.



Dr Rani juga meminta para pemimpin PAS memfokaskan kembali kepada pengundi Melayu yang turut disebut dalam ucapan dasar Presiden kali ini.



"Menang atau kalah PAS dalam pilihan raya banyak bergantung kepada pengundi Melayu kerana kita bertanding di kawasan majoriti Melayu...ini kita kena ingat.



"Jadi usaha perlu dibuat untuk membolehkan mesej kita sampai ke kawasan-kawasan luar yang selama ini menjadi kubu musuh kita," kata Dr Rani.

50 tahun imej Islam tercalar di bawah Umno


Muhd Yusri Amin



PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Biar pun lebih 50 tahun negara merdeka, namun imej Islam yang murni

semakin tercalar akibat kegagalan dan ketidakadilan dilakukan Umno.



Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu berlaku meski pun

Umno yang didakwa menjadi teras Barisan Nasional (BN) mendabik dada kononnya mereka parti

penyelamat Melayu Islam dalam masyarakat majmuk.



“Namun hakikatnya mereka gagal, bahkan mengundang malapetaka kepada orang Melayu Islam,

membawa wajah yang salah kepada masyarakat majmuk menjadi realiti masyarakat Malaysia.



“Hasilnya imej Islam yang begitu murni tercalar akibat kegagalan dan ketidakadilan yang dibawa Umno,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini.

Ucapan dasar bertema: “Islam Adil Untuk Semua”.



Beliau berkata PAS meneruskan ukhuwwah dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh,

digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab ‘amal Islami’ yang syumul di negara ini.



“PAS terus menerus beristiqamah melaksanakan Tahaluf Siyasi sejak 1982 di atas nama Islam

berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.



“Pendekatan fikah politik Islam PAS menerusi amalan Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat

dengan model Islam yang sebenar terus dilaksanakan," katanya.



Kata beliau kerjasama itu terbukti pada banyak siri pilihan raya di negara ini termasuk

terbaru di Sibu, Sarawak baru-baru ini.



Beliau juga berkata sudah sampai masanya muslimat wajib bersama muslimin berganding

melaksanakan tugas tanpa menjejaskan kewajipan dalam rumahtangga.



Menurutnya ini penting kerana suasana kebanjiran pemikiran menyerang umat dan merosakkan

masyarakat hasil daripada kuasa politik yang salah.



Selain itu beliau menggesa muslimat supaya meneruskan gerak kerja mendekati dan

menghimpunkan remaja wanita dalam program keagamaan, sukan dan kesenian.



Muslimat juga mesti mengambil inisiatif dan berperanan mendepani isu penindasan wanita,

remaja dan kanak-kanak secara lebih proaktif dan berkesan dengan menubuhkan institusi

kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Perjanjian dengan bukan Islam sebelum dilantik jadi calon


Salmah Husain





KOTA BHARU, 11 Jun: PAS akan mengadakan perjanjian dengan orang bukan Islam yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.



Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas majlis perasmian Muktamar PAS Pusat Ke-56, di Putik tengahari tadi.



Menurutnya lagi, beliau bagaimanapun yakin calon-calon bukan Islam yang bermoral tidak akan melompat parti sekiranya dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya terbabit dan menang kerusi yang dipertandingkan itu.



Menyentuh tentang perletakan calon pula, beliau memberitahu persefahaman pasti akan wujud dalam mengagihkan calon-calon Pakatan Rakyat dan akan memastikan pertandingan dua penjuru akan berlaku.



“Mana-mana calon yang mewakili DAP atau PKR tidak akan diletakkan calon dari PAS, begitu juga tempat yang dikhususkan untuk Dewana Himpunan PAS,”ujarnya.



Katanya, dalam sejarah Islam sendiri telah terbukti adanya kerjasama antara Islam dan bukan Islam yang turut menentang kezaliman yang juga telah wujud persefahaman antara Dewan Himpunan PAS dengan PAS sendiri.



“Jadi ianya tidak ada sebarang masaalah,”ujarnya.



Katanya, PAS juga telah membuat keputusan dengan adanya Dewan Himpunan PAS itu membuktikan PAS telah mengiktiraf mereka dengan menjadikan mereka sebahagian dari sayap-sayap parti sebagaimana Dewan-Dewan yang lain.



Hadi seterusnya berkata, setelah beberapa tahun Kelab Penyokong di tubuhkan dan tahun ini ditingkatkan sebagai Dewan Himpunan dan akan dipertingkatkan lagi sehingga membolehkan mereka mengikuti sidang muktamar dan mengadakan muktamar mereka sendiri tahun hadapan.



Beliau berkata, Dewan Himpunan diadakan untuk mereka sebagai satu pengiktirafan untuk golongan itu yang kini semakin bertambah keahliannya hasil kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah.



“Mereka melihat sendiri bagaimana konsep Islam yang mengiktiraf mereka sebagaimana umat Islam yang lain,”ujarnya.



Jelasnya, dalam urusan lain termasuk politik ianya boleh melibatkan bukan Islam kecuali amalan yang bersangkutan dengan agama Islam seperti puasa, zakat, solat dan sebagainya.


Royalti: Kelantan bawa ke mahkamah 30 Ogos
Mohd Nor Yahya

PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Kelantan akan membawa tuntutan royalti negeri itu ke mahkamah 30 Ogos nanti selepas beberapa tindakan secara rundingan dilihat tidak membuahkan hasil.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti, Datuk Husam Musa yang juga exco kerajaan negeri memberitahu demikian pada demonstrasi menuntut royalti selepas majlis perasmian muktamar sebentar tadi.



"Sebenarnya kita nak bawa pada hari kemerdekaan 31 Ogos, tapi oleh kerana mahkamah tidak berkerja pada hari tersebut, kita awalkan sehari," katanya disambut laungan takbir orang ramai.

Demonstrasi tersebut anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan yang diadakan di perkarangan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas Majlis Perasmian Muktamar PAS kali ke-56 hari ini.

Demonstrasi diketuai Ketua Dewan Pemuda, Abdul Latiff Abdul Rahman serta pimpinan pemuda PAS Kelantan dan disertai ribuan yang lain.

Abdul Latiff dalam ucapannya pula berkata, kezaliman kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib terhadap rakyat bumiputera negeri ini dilakukan dengan menafikan hak hasil bumi negeri sedangkan sanggup membayar 77 juta kepada syarikat perunding Apco worldwide.

"Apa salahnya 20 juta yang dituntut rakyat diberikan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan bukan kepada pihak lain kerana kerajaan negeri telahpun diberikan amanah oleh rakyat," katanya.

Sehubungan itu mereka menuntut agar royalti lima peratus milik rakyat Kelantan dikembalikan kepada kerajaan negeri dan bukan menggantikannya dengan wang ehsan seperti yang dilakukan kerajaan pada waktu ini.

Kelantan sebelum ini mengemukakan tuntutan terhadap pusat agar dibayar royalti petroleum ekoran penemuan telaga minyak di perairan negeri.

Sementara itu, setiausaha perhubungan PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim juga ketika berucap, turut mengutuk tindakan kerajaan Umno itu.

Wednesday, June 9, 2010

Judi bola: LLG bantah lesen, ajak sertai himpunan


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyeru pertubuhan masyarakat madani meneruskan protes terhadap kerajaan yang meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010.



Presidennya, Dr Toh Kin Woon juga menyeru masyarakat menghadiri perhimpunan besar yang dianjurkan oleh Gabungan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pada 3 Julai bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.



“Rakyat mesti mengambil bahagian dalam isu-isu masyarakat, menerajui agenda rakyat, inilah maksud demokrasi,” ujarnya dalam satu kenyataan.



Kerajaan juga, katanya harus mengurangkan bilangan pembukaan Toto Magnum, menggalakkan rakyat rajin bekerja untuk menjana pendapatan, bukan berfikir secara opportunis dan giat membeli nombor ramalan ekor.



Tambahnya, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak bukan sahaja menggalakkan gejala judi, mengaitkan aktiviti sukan dengan judi dan mencemarkan fikiran belia-belia juga tidak dapat membendung perjudian haram secara berkesan.



Menurutnya lagi, asas pemberian lesen judi bola sepak tidak dapat membendung perjudian haram dan usaha meningkatkan pendapatan kerajaan tidak meyakinkan.



Baginya, negara tidak perlu meningkatkan hasil cukai dengan pendekatan mencemarkan fikiran belia dan membahayakan masyarakat melalui kelulusan lesen judi itu.



Hakikatnya, kata beliau pendapatan negara disalahgunakan dengan perbelanjaan boros termasuk skandal khazanah negara yang disalurkan kepada parti politik yang sering kali berlaku.



Ujarnya, pemimpin kerajaan yang meluluskan lesen judi bola sepak dengan alasan “mesti adil terhadap komuniti bukan muslim” membayangkan orang Cina dan India gemar berjudi.



“Kenyataan ini amat tidak bertanggungjawab dan cuba merosakkan hubungan baik antara bukan muslim dan muslim. Judi bukan kebudayaan sesuatu kumpulan etnik.



“Sebahagian orang Cina atau India gemar judi tidak bermakna ia budaya seluruh kumpulan etnik, kerajaan tidak patut memperkudakan bukan muslim sebagai alasan meluluskan lesen judi bola sepak,” ujarnya lagi.



Bahkan, katanya beberapa pertubuhan orang Cina telah menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap pemberian lesen tersebut kerana judi bola sepak merosakkan nilai-nilai moral dan akhlak warga negara tanpa mengira kaum.

Saturday, June 5, 2010

Serangan rejim Israel buka mata pemimpin umat Islam


Khairul Azlam Mohamad

MARANG, 5 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sejak tragedi serangan ganas komando rejim Israel terhadap sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza Isnin lalu telah berjaya membuka mata pemimpin-pemimpin orang Islam.



“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD Ke Blok 6 Air Putih, Kemaman di Rusila, semalam.



Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan kejam tentera Israel itu juga turut menguji kekuatan umat Islam secara amnya.



Ini, katanya kerana bangsa Yahudi juga bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin serta menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel.



Tambah beliau, penganut agama Yahudi hari ini mempercayai empat rukun yang telah dipinda serta disesatkan.



Pertama, katanya orang Yahudi menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja termasuk membunuh bangsa lain.



Mereka juga, katanya berhasrat untuk mendirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil yang mereka dakwa pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa yang menjadi tempat Israk Nabi Muhamad s.a.w.



Rukun ketiga, jelasnya bangsa Yahudi mahu mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.



“Keempat, mereka menunggu al-Maseh. Al-Maseh ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia. Kepada kita orang Islam, al-Maseh ialah ‘dajjal’ yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.,” jelasnya.



Beliau juga menjelaskan Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kini menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi.



Ekoran itu, katanya, orang Yahudi bertindak ganas dengan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin serta mengorek di sekeliling Masjidil Aqsa.



Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak ada lagi rundingan atau perbincangan dengan negara haram Israel yang berhasrat untuk menakluk dunia.



“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.



“Tidak ada lagi rundingan, tidak ada lagi perbincangan dengan negara yang berhasrat meluaskan wilayah mereka di seluruh dunia.



“Kita hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.


14k Yellow and White Gold Crossover Hoop EarringsZALES Prestige Round Loose DiamondPhiten Star Necklace

Tuesday, June 1, 2010

Kabinet baru: Khairy kecewa lagi


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Nampaknya Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar kecewa lagi apabila nama beliau tidak termasuk dalam senarai kabinet baru yang diubahsuai oleh Perdana Menteri hari ini.

Berikut adalah senarai penuh perubahan kabinet yang diumumkan Datuk Seri Najib hari ini.

1. Datuk Seri Kong Cho Ha dilantik sebagai Menteri Pengangkutan menggantikan Datuk Seri Ong Tee Keat yang kalah dalam pertandingan merebut Presiden MCA di tangan Datuk Seri Chua Soi Lek.

2. Bekas Timbalan Menteri Kewangan yang menguruskan isu judi bola bagi pihak Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dilantik menggantikan Kong sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

3. Anak Presiden MCA yang juga ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Beliau menggantikan Datuk Johari Baharom, Ketua Umno Kubang Pasu.

4. Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan mengambil tempat Chor Chee Heung.

5. Gan Ping Sieu dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

6. Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dilantik sebagai Timbalan Menteri Penerangan.

7. Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dilantik sebagai Timbalan Menteri Industeri Pertanian dan Komoditi. Beliau menggantikan Datuk Hamzah Zainudin, ahli Majlis Tertinggi Umno.

8. Ahli Parlimen Serian dari SUPP, Datuk Richard Riot dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.

9. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna.

10. Jelaing anak Mersat dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.

11. Datuk Lee Chee Leong dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Mavi Marmara dikosongkan, nasib aktivis tidak tentu


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Laporan terakhir mengenai keadaan misi kemanusiaan Freedom Flotilla yang diserang oleh komando rejim Israel menyebut bahawa sejumlah 535 penumpang sudah diturunkan dari kapal Mavi Marmara.

Menurut laman web Haluan Palestin, kapal itu kini dilabuhkan di Ashdod dan dalam keadaan kosong.

Informasi yang diungkapkan oleh Al-Jazeera tersebut diperolehi dari Kementerian Luar Negeri Israel.

Kebanyakan penumpang berasal dari negara yang memiliki hubungan diplomatik dengan Israel, seperti Lubnan, Mesir, Yaman dan yang lainnya sementara bakinya berasal dari negara yang tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Israel.

Bagi aktivis yang berasal dari negara yang memiliki hubungan diplomatik, jika mereka tidak membantah arahan pemerintah, maka Israel maka mereka akan dihantar pulang secara langsung dengan menaikkan pesawat yang disediakan di bandar Tel Aviv.

Manakala bagi aktivis yang negaranya tidak memiliki hubungan diplomatik, ditahan oleh Israel hingga ada negara ketiga yang mahu menerima mereka.

Sehingga laporan ini dicatatkan, Al-Jazeera menyatakan ada 48 aktivis yang telah dihantar pulang, salah seorangnya adalah Edward Peck, warga yang berusia 81 tahun yang juga merupakan mantan Duta Amerika Syarikat.

Bakinya sejumlah 480 orang ditahan di penjara Israel di Beersheba. Mereka akan dihantar pulang jika urusan perundangan mereka dengan kerajaan Israel selesai.
Victorinox Fibrox 8-Inch Chef's KnifeMisto Gourmet Brushed Aluminum Olive Oil SprayerLodge Logic Pro 20-by-10-7/16-Inch Cast-Iron Grill/Griddle
Liwat: Perbicaraan tangguh, tunggu pakar Australia


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disambung Khamis ini dengan kehadiran saksi pembela yang terdiri daripada pakar forensik perubatan dari Australia.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Md Diah menangguhkan perbicaraan hari ini selepas dimulakan dengan melawat lokasi kejadian di sebuah unit kondominium Desa Damansara pagi tadi.

Menurut peguam Karpal Singh, pakar tersebut dibawa bagi meneliti pengakuan yang dibuat oleh tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur terhadap pemeriksaan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pakar itu, Dr David Wells dijangka tiba di Malaysia pada pukul 7 pagi Khamis ini.

Dalam perbicaraan pagi tadi, pihak Anwar didakwa gagal melawat unit kondominium (tempat kejadian meliwat didakwa berlaku) seperti yang mereka pohon, sebaliknya hanya dibawa ke sebuah unit yang sama pernah dilawati mereka awal Februari lalu.
New Balance Men's MR993 Running ShoeSupra SkyTopSkechers Men's Shape Ups Lace-Up