Free Website Hosting

Friday, May 28, 2010

Judi bola: Awang Adek perlu mohon maaf


Rizal Tahir

BACHOK, 28 Mei: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, diminta memohon maaf pada rakyat di negara ini khususnya umat Islam kerana telah menyinggung perasaan mereka dengan meluluskan lesen judi.

Anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli ketika memberitahu media berkata, Awang Adek perlu berbuat demikian kerana keputusan yang diumumkannya baru-baru ini telah membuatkan seluruh rakyat termasuk bukan Islam resah.

Beliau berkata demikian selepas majlis demontrasi membantah lesen judi yang diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini sebagaimana yang diumumkan Awang Adek.

Program yang diadakan selepas solat Jumaat itu turut dihadiri kaum muslimat dan golongan muda untuk menyokong bantahan terbabit.

Hatta seterusnya berkata, Awang Adek dan kerajaan sepatutnya sejak awal lagi menarik balik kelulusan itu setelah pelbagai desakan disuarakan oleh rakyat pelbagai peringkat.

“Bukan sahaja parti-parti politik, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan masyarakat bukan Islam juga turut memohon supaya lesen tersebut ditarik balik,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof, Adun Tawang, Ustaz Hassan Mahmood dan lain-lain pimpinan.

Ustaz Latif ketika berucap pada majlis itu mendesak Awang Adek meletakkan jawatan kerana telah mempermainkan soal agama serta tidak layak menjadi pemimpin.

Katanya, Dewan Pemuda menganjurkan majlis berkenaan di Parlimen Bachok sebagai simbolik Awang Adek berasal dari situ.

Beliau seterusnya memohon kerajaan melaksanakan tema kerajaan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

“Jadi kalau nak dahulukan rakyat, dengarlah suara rakyat dan kalau nak pencapaian yang lebih baik dalam pentadbiran negara, batalkan lesen judi,” ujarnya.

Lebih 1,000 orang hadir menjayakan demontrasi mendesak kerajaan menarik balik lesen judi tersebut yang diadakan di pekarangan Masjid Mahmudi, di sini.
Semua PBT tidak benarkan terus operasi judi


Harakahdaily

SUBANG, 28 Mei: Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan tidak membenarkan premis-premis miliknya terus digunakan untuk aktiviti perjudian setelah lesen premis berkenaan tamat.



Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali berkata, mesyuarat Exco telah membuat keputusan tersebut.



Katanya, premis milik kerajaan negeri di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan dikembangkan untuk aktiviti perjudian apabila lesennya tamat.



Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menyatakan demikian ketika ditanya mengenai laporan sebuah portal berita bahawa tiga PBT di negeri ini tidak akan membenarkan premis pengoperasian judi bola sepak Piala Dunia oleh Syarikat Ascot Sport, anak Syarikat Kumpulan Berjaya Corp.



“(Mesyuarat) Exco buat keputusan tak benarkan premis-premis kita yang tamat lesen kembangkan aktiviti judi,” ujarnya kepada Harakahdaily selepas berkhutbah dan mengimamkan solat Jumaat di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, petang ini.



Sebelum itu, beliau merasmikan Karnival Perdagangan dan Produk Islam di pekarangan masjid berkenaan yang berakhir Ahad ini. (Gambar)



Dr Hasan menjelaskan bahawa seluruh PBT di negeri ini tidak lagi mengizinkan premis judi beroperasi apabila tempoh lesennya tamat.



Mengenai karnival itu, beliau berkata, kerajaan negeri memberi galakan kepada pihak masjid menganjurkannya bagi memberi peluang kepada para peniaga berbagai peringkat menyertainya.



Selaku Exco Agama, beliau mahukan pihak surau, masjid atau institusi agama memikirkan agar dapat mengadakan aktiviti bagi mengimarahkan tempat ibadat berkenaan.



Ini, katanya selaras dengan konsep masjid wahana pembangunan umat yang diperkenalkannya dalam konteks membangunkan masyarakat.



Menurutnya, karnival yang diadakan itu adalah percubaan mana-mana masjid dan berharap mendapat kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan agar penglibatannya lebih meluas.



“Kita buka ruang yang seluas-luasnya penyertaan dalam program ini,” ujarnya.

Wednesday, May 26, 2010

GMJ seru seluruh rakyat sertai bantahan judi


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Sekretariat Gerakan Membantah Judi (GMJ) mendesak Kerajaan Malaysia segera menarik balik pemberian lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan bermula Jun ini.

GMJ yang berpusat di Kedah disertai oleh sayap pemuda ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP), Pemuda Gerakan serta 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Mereka membuat gesaan tersebut dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat wakil mereka malam tadi.


GMJ menegaskan, mereka akan menggunakan apa sahaja cara dan ruang yang ada untuk membantah keputusan yang disifatkan sebagai 'tidak masuk akal' itu.

"Kami juga menyeru seluruh rakyat negeri Kedah, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik untuk bangkit membantah keputusan ini," kata kenyataan itu.

GMJ kesal dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein bahawa lesen judi itu diluluskan bagi mengawal aktiviti perjudian haram dan dengan pengawalan kerajaan, aktiviti itu akan dapat dilakukan dengan lebih teratur.

Sebaliknya mereka menegaskan bahawa kewujudan judi sukan ini akan menambahkan lagi kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat serta meruntuhkan tamadun manusia walaupun mendatangkan perolehan lumayan kepada negara dalam bentuk kewangan.

Dalam kenyataan itu GMJ juga memberitahu mereka bukan mahu menghalang kemajuan sukan negara bahkan akan terus menyokongnya namun industri sukan negara akan hancur apabila ia terlibat dengan pertaruhan.

Selain itu, mereka berpandangan kerajaan wajib mendapatkan pandangan awam yang menentang kelulusan lesen baru di samping kewujudan lesen-lesen yang ada yang sudah terlalu banyak serta mahu kerajaan bertindak untuk mendapatkan sumber yang baik untuk membangunkan negara ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Nasir Zakaria ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengulangi seruan kepada seluruh rakyat untuk menyertai Himpunan Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.

Beliau juga memberitahu, Pemuda Gerakan yang menyokong penuh bantahan itu sedang menunggu kelulusan daripada Gerakan Pusat untuk sama-sama menyertai himpunan itu.

"Pemuda Gerakan memang menyatakan kenyataan bersama tapi untuk himpunan mereka tidak boleh sertai sehingga mendapat kelulusan daripada Gerakan Pusat.

"Mereka bersama membantah tapi polisi parti itu kalau dapat permit baru boleh turut serta," katanya yang juga ahli parlimen Padang Terap.

Judi bola: Pengarah Jais diminta nyata pendirian


Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 26 Mei: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi diminta menyatakan pendirian peribadi dalam isu kerajaan Pusat meluluskan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.



Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar), Khusrin sepatutnya tidak mengambil sikap berdiam diri kerana hukum berjudi jelas haram di sisi Islam.



Sehubungan itu, Khalid mencabar Khusrin mengambil sikap lantang dengan mengkritik pemimpin Umno dalam isu itu sebagaimana yang pernah dilakukan dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan masyarakat bukan Islam suatu ketika dahulu.



“Dalam isu judi, hukumnya haram mutlak, kenapa Khusrin tidak naikkan sepanduk sebagaimana beliau menentang pendirian PAS, Pakatan Rakyat dulu,” jelas beliau di pejabatnya, petang ini.



Disebabkan Khusrin masih tidak menyatakan penderian sejak isu judi tersebut meletus, Khalid turut mempersoal kredibilitinya sebagai penjawat awam di Jais sendiri.



“Adakah diam Khusrin ini disebabkan kesetiaannya pada Umno serta masih terkenang jawatannya setiausaha politik bagi Muhammad Muhd Taib (bekas Menteri Besar) suatu ketika dulu,” ujarnya.



Dalam pada itu, beliau turut mendakwa Khusrin sebagai dalang Umno dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.



Ini kerana, dakwaannya, Khusrin bertanggungjawab menghalang para pendakwah berkhutbah di masjid.



Namun, selepas beliau sendiri mendedahkan gambar kain rentang Majlis Bacaan Yaasin Memenangkan Calon BN, Khusrin dilihat mengambil sikap berpeluk tubuh, seakan tidak mahu mempertikai Umno BN yang cuba membawa politik kepartian ke masjid.



Selain mempertikai Khusrin, Khalid turut mendesak Jais, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Mufti Selangor, Datuk Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid supaya menyuarakan protes terhadap pemimpin Umno negeri dan Pusat.



Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, pihaknya turut mengutus surat memohon sembah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya Tuanku Sultan perkenan untuk mempengaruhi Majlis Raja-Raja Malaysia mendesak kerajaan membatalkan lesen judi bola secepat mungkin.






Najib ulangi serah maruah kepada Singapura


Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Tindakan menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, Singapura tidak memeranjatkan kerana pulau Singapura sendiri pun telah diberikan begitu sahaja oleh pemimpin Umno sebelum ini kepada Lee Kuan Yew.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan penyerahan stesen KTMB Tanjung Pagar itu sebagai ulangan penyerahan Singapura pada 9 Ogos 1965.

"Pada 6 Februari 1819, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura untuk dijadikan tanah jajahan British melalui perjanjian dengan Stamford Raffles.

"Pada 9 Ogos 1965 pula, Perdana Menteri dan Presiden Umno waktu itu menyerah kalah kepada tipu muslihat politik Kuan Yew lalu menyerahkan Singapura begitu sahaja kepada pemimpin Singapura.

"Dan, Isnin lalu, pada 24 Mei 2010, Perdana Menteri dan Presiden Umno hari ini, (Datuk Seri) Najib melengkapkan penyerahan itu sambil mempersalahkan Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) yang ditandatangani pada 1990 sebagai alasan untuk melengkapkan penyerahan maruah kepada Singapura itu," katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mendakwa, perjanjian antara Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong itu adalah jauh lebih baik berbanding pengunduran operasi KTMB secara berperingkat mengikut POA.

Mahfuz mempersoalkan, mengapa pengikut-pengikut Najib termasuk Abdul Ghani kelihatan mempersalah dan menggunakan alasan POA untuk mewajarkan perjanjian Isnin lalu.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, POA yang digariskan Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan ketika itu, sebenarnya tidak mendapat persetujuan kabinet.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu sependapat dengan pandangan pelbagai pihak supaya Najib membentangkan laporan khas mengenai perkara itu dalam sesi Parlimen akan datang.

Beliau kecewa dengan sikap Najib yang bertindak sama seperti Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menyerahkan wilayah Malaysia di Blok L dan M kepada Singapura.

"Najib sama seperti Abdullah, berlagak pandai tetapi hakikatnya tidak tahu menggunakan kuasa yang ada pada seorang Perdana Menteri untuk mempertahankan maruah dan nama baik negara," kata Mahfuz.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku hari ini sama seperti apa yang berlaku pada tahun 1965 lalu apabila pemimpin Umno dengan mudah menyerahkan Singapura akibat kehilangan akal untuk menghadapi sepak terajang Kuan Yew untuk mengukuh dan memperluaskan kuasanya.

"Hari ini pun, kerana hendak berlagak lebih pandai dari pemimpin sebelum ini yang menangguhkan perlaksanaan POA itu, Najib mengulangi perbuatan menyerahkan maruah negara kepada Singapura," katanya.
Tanah KTMB: Kenapa tidak serah royalti pada Kelantan


Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 26 Mei: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu Kerajaan Pusat menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan negeri sejak tahun lalu secepat mungkin.

Menurutnya, sekiranya Kerajaan Malaysia menyerahkan semula tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura kepada negara jiran itu, kenapa kerajaan tidak melakukan perkara yang sama terhadap kerajaan Kelantan.

Beliau berkata demikian sebentar tadi ketika mengulas isu penyerahan semula tanah milik KTMB di Tanjung Pagar, Singapura kepada kerajaan negara itu.

Tuan Guru berkata, sekiranya Malaysia boleh bertolak ansur dengan negara lain, kenapa tidak boleh berbuat demikian dengan negeri yang berada di dalam negara ini sendiri.

“Jadi saya minta sangatlah jasa baik Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menyerahkan royalti petroleum kepada kerajaan negeri.

“Kiranya kerajaan boleh menganggap penyerahan KTMB kepada Singapura sesuatu yang wajar serta tidak merugikan, begitu juga penyerahan wang royalti pada Kelantan juga amat wajar serta tidak merugikan,” ujarnya.

Kemelut MIC bukti BN tidak mampu teraju negara


Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 26 Mei: Kemelut yang sedang menyelubungi MIC adalah satu bukti ketara bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada dalam situasi yang tidak menggalakkan mereka untuk terus menerajui negara.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)Pulau Pinang, Amir Ghazali apa yang sedang berlaku dalam kepimpinan MIC banyak membuka ruang kepada rakyat untuk melihat bagaimana pekung lama yang selama ini terpendam dalam sanubari ahlinya sudah hampir meletup dan menjadikan presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu sebagai mangsanya.

"Saya optimis MIC akan turut terburai dan berkecai kerana sikap egoisme yang dipamerkan oleh Presidennya selama 31 tahun yang lalu sudah tidak meyakinkan pengikutnya untuk terus bersama beliau,” katanya.

Tambahnya, S Vellu Paari yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC dan anak kepada presiden itu cuba untuk mendapat publisiti bagi membuktikan kepimpinan yang akan beralih itu akan turut mengikut amalan kronisme yang menjadi lumrah dalam Umno.

"Presiden yang telah 31 tahun memegang tampuk pemerintahan parti pula tidak mahu akur dengan kehendak ahli dan sanggup memecat mereka yang menentangnya adalah sikap yang sama dengan amalan yang diamalkan oleh kebanyakan pemimpin dalam Umno dan BN sebelum ini," katanya.

Manakala di Kepala Batas, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain berkata, MIC akan turut mengikut jejak MCA sepertimana kemelut yang berlarutan sebelum ini.

Katanya, krisis keyakinan yang ditimbulkan oleh ahli MIC itu membuktikan bahawa Samy Vellu sudah tidak relevan lagi untuk terus menerajui kepimpinan parti yang berasaskan kaum itu.

Begitu juga, ujarnya dengan usahanya untuk menjadikan parti tersebut sebagai turun temurun tidak akan kesampaian apabila cantas mencantas yang dilakukan oleh Samy tidak ubah sepertimana yang berlaku dalam Umno dan MCA dahulu.

Rosidi yang juga seorang peguam berkata, lambat laun MIC akan turut menerima tempias yang ditinggalkan oleh MCA dan Parti Progesif Rakyat (PPP).

Beliau juga berkata, tradisi tidak menghormati keputusan suara majoriti dalam Umno seperti mana yang dilakukan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melantik Khairy Jamaluddin yang memenangi kerusi Ketua Pemuda Umno dengan mengalahkan Mukhriz Mahathir akan turut menjelma dalam pemikiran kepimpinan MIC yang dipimpin oleh Samy dengan memecat mereka yang menentang pandangan dan keputusan yang telah dibuatnya
MIC sudah jadi Lembu Tua dalam BN


http://msomelayu.blogspot.com/

KEMELUT kepimpinan dalam MIC nampaknya menjadikan liabiliti kepada BN. Ada tanda-tanda menunjukkan BN yang diketuai Umno kurang senang dengan krisis yang berlaku di dalam parti berkenaan. Tindak tanduk pemimpinnya dilihat sebagai memberi masalah kepada BN.

Apa yang jelas kini pemimpin Umno tidak begitu senang dengan kemelut dalam parti tersebut, terutamanya kedegilan pemimpin nombor satunya, Samy Velly untuk tidak berundur.

Kedegilan Samy Vellu itu memuakkan Umno. Sedar atau tidak sedar ada semacam campur tangan Umno bagi mengatasi kemelut dalam MIC termasuk menyingkirkan Samy Vellu.

Aksi ini dilakukan tersembunyi oleh Umno dengan memberi sokongan kepada kumpulan tertentu dalam MIC yang menyerang presiden MIC itu.

Sikap judis Umno kepada MIC ini bermula apabila parti tidak dapat mengekalkan prestasinya dalam pilihan raya umum lalu. Disebabkan corak politik diktator Samy Velly dalam MIC menjadikan parti berkenaan kalah teruk pada pilihan raya umum lalu. Gara-gara itu menjadikan BN kehilangan majoriti 2/4 di parlimen.

Sebenarnya Umno tidak boleh meletakkan kesalahan itu kepada MIC seratus peratus. Kegagalan itu juga adalah tanggungjawab Umno. Umno juga berada dalam keadaan lemah ketika menghadapi pilihan raya umum ke - 12 lalu.

Jadi kalau Umno menyalahkan MIC seratus peratus ianya sangat tidak adil. Tetapi itulah apa yang berlaku dan begitulah perangai Umno.

Parti Melayu itu mudah menunding jari kepada pihak lain tanpa melihat kesalahannya sendiri. Beginilah perangai parti yang ego dan sombong dan terus bernostalgia dengan kehebatan masa silam.

Umno terus menerus menyalahkan MIC terutamanya Samy Vellu. Mungkin alasan itu benar. Tetapi kenapa sewaktu Mahathir Mohamad menjadi presiden Umno selama 22 tahun tidak ada siapa dari Umno yang mempertikaikannya.

Tidak ada desakan besar. Kalau bukan kerana reformasi yang dipimpin Anwar Ibrahim 1998 mungkin Mahathir tidak akan turun lagi dan masih tercokol dalam Umno seperti Samy Vellu duduk atas tunggul MIC sampai berakar umbi.

Disebabkan itu apabila Umno beriya ingin menggugurkan Samy Vellu jelas Umno cuba campur tangan dalam kepimpinan MIC dan tidak menghormati piagam BN. Apa yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru menjelaskan realiti itu.

Umno terang-terang menolak calon dikemukakan oleh MIC, G Palanivel sebaliknya mengemukakan calonnya sendiri. Kamalanthan. Penolakan Palanivel itu satu penghinaan yang mengaibkan Samy Vellu dan MIC.

Jadi apabila anak Samy Vellu Vella Paari menuduh Umno melakukan politik membunuh berdasarkan aksi-aksi Umno itu ia adalah satu kebenaran. Walaupun cara Umno ingin mengembalikan kekuatan MIC seterusnya mengukuhkan kedudukan BN, tetapi cara Umno melayan musuh-musuh Samy Vellu tidak kena.

Umno sepatutnya tidak bercakap membela Mugilan apabila Samy Vellu memecat Naib Ketua Pemuda MIC itu. Pembelaan Tengku Adnan Mansor terhadap Mugilan dengan menafikan Mugilan sebotaj calon MIC di Hulu Selangor, itu membuktikan Umno memcampuri urusan MIC secara langsung.

Campur tangan itu juga merendahkan kedudukan Samy Vellu sebagai presiden parti. Inilah menyebabkan anak Samy Velly marah kepada Umno dan bersikap membela bapanya.

Dengan apa yang berlaku dan dilakukan BN terhadap MIC kini sudah cukup untuk memberi peluang kepada parti itu mengenali stail dan budaya oportunis politik BN yang diketuai oleh Umno. Umno akan mencari kesempatan atas apa saja untuk kesenangan dan mendapat kuasa.

Umno akan menyokong mana-mana juga pihak asalkan memberi hasil kepadanya. Dan Umno sanggup menendang mana-mana sahabatnya yang tidak lagi menguntungkannya. Apa yang berlaku ke atas Pas tahun 1974 yang ditendang dari BN sepatutnya diingat oleh MIC.

Hari ini Umno lihat MIC semakin lemah dan ditolak oleh orang India. Jadi untuk apa lagi Umno terus memelihara Umno dan komponen BN. MIC dan Samy Vellu sudah jadi macam lembu tua buat Umno.

Lembu tua sudah lemah dan tidak dapat digunakan untuk melakukan kerja-kerja tenggala tanah atau menari pedati lagi. Jadi untuk apa dipeliharanya lagi sedangkan makan dan minum harus disediakan. Untuk memudahkan kerja lembu tua itu perlu dibuangkan saja.

Saya tidak mahu meramalkan sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas MIC dan Samy Vellu. Tetapi melihat kepada gaya hari ini hubungan Umno dengan MIC khususnya Samy Vellu sudah terlalu teruk dan mulai mengusut.

Apakah mungkin MIC akan ditendang dari BN atau meminta keluar dari BN, adalah sesuatu pengakhiran yang ditunggu oleh kita semua


Live At The Troubadour [CD / DVD Combo]

Tuesday, May 25, 2010

Kerajaan digesa anjur 'Malam Anugerah Judi'

Sabaruddin Hassan

Melihat kepada perkembangan mutakhir ini, kerajaan digesa menganjurkan satu program ala "Malam Anugerah Judi 1 Malaysia' mungkin boleh dibuat di Genting Highland dalam masa yang terdekat.

Anugerah tersebut bolehlah diberikan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mengikut kategori-kategori tertentu. Ini adalah untuk mengenang jasa-jasa mereka yang telah banyak menyumbang bakti mahupun wang ringgit dalam perkembangan industri judi di Malaysia.


Pada malam anugerah nanti turut diserikan dengan persembahan oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang dijemput khas oleh pihak penganjur. Kementerian Kewangan dicadangkan menjadi penganjur kerana kewibawaannya, di samping mempunyai hubungan yang baik dengan syarikat-syarikat judi lokal dan antarabangsa.

Syarikat-syarikat tersebut tentunya boleh menjadi penaja untuk membiayai sebahagian daripada kos penganjuran. Iklan dan logo-logo syarikat akan diberi tempat dalam media massa arus perdana yang dikuasai oleh kerajaan.


Antara kategori anugerah yang dicadangkan dan paling berprestij ialah:



Anugerah Khas Judi 1 Malaysia, diberikan kepada tokoh negara yang paling berjasa kepada industri judi dalam negara kerana meluluskan lesen judi.


Anugerah Tokoh Judi, anugerah ini untuk wakil rakyat atau senator yang banyak menyumbang jasa dan bakti terhadap industri judi, termasuklah idea untuk menghalalkan aktiviti judi melalui pemberian lesen yang sah.


Penjudi Paling Popular, iaitu anugerah untuk tauke judi yang paling popular dan telah banyak berjasa kepada negara.


Anugerah-anugerah lain yang dicadangkan ialah Penyokong Lelaki Judi Paling Popular, Penyokong Wanita Judi Paling Popular, Syarikat Judi Paling Popular dan Iklan Judi Paling Kreatif.


Pihak kerajaan boleh menubuhkan satu jawantankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar judi dalam setiap parti komponen BN untuk membuat pemukiman terlebih dahulu. Jawatankuasa ini nanti akan bertanggungjawab untuk memilih dan mencalonkan para pemenang yang akan menerima anugerah pada malam yang dijangka meriah dan paling berprestij tahun ini.

Monday, May 17, 2010

Kerjasama erat PAS-PKR-DAP menangkan Pakatan di Sibu


Nazri Abdullah

SIBU, 17 Mei: Kerjasama erat antara PAS, PKR dan DAP tidak boleh dinafikan antara faktor penyumbang kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam.

Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod (gambar) berkata seluruh peringkat bermula dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti hingga ke peringkat jentera, mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang kempen di sini.

"Kita sangat berpuas hati dengan keputusan yang kita dapat.

"Pilihan raya ini kita dapat lihat kerjasama cukup padu dan jitu dalam Pakatan Rakyat," katanya.


Usaha kuat ketiga-tiga jentera parti dalam Pakatan Rakyat ini juga jelasnya turut dirasai calon DAP yang telah menang, Wong Ho Leng dan diakui oleh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng sendiri.

Dengan keadaan masyarakat Sibu yang kurang terdedah dengan maklumat dan hanya mendengar sebelah pihak, kemenangan kali ini dianggap berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan jentera Pakatan Rakyat.

Ianya juga membuktikan, strategi kempen rumah ke rumah sangat berkesan menangkis tohmahan BN yang meggunakan seluruh saluran yang mereka ada.

"Kalau melihat kepada bendera di rumah-rumah, kita rasa memang kita kalah.

"Rupa-rupanya mereka tidak mahu dilihat bersama dengan Pakatan Rakyat, tetapi mereka sebenarnya mengundi kita," katanya.

Selain itu, mengulas ringkas kekalahan memalukan BN pula beliau berkata, antara lain dilihat berpunca dari protes kaum Melayu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, masyarakat Melayu di beberapa tempat sepeti di Nangka, Pelawan dan Seduan kecewa dengan layan tidak sama rata Najib yang beberapa kali datang berkempen.

Najib, katanya seperti meminggirkan masyarakat Melayu Melanau di situ kerana mungkin yakin mereka pengundi tegar BN.

"Saya belum lihat secara keseluruhan lagi, cuma mungkin pengundi Melayu protes terhadap Najib.

"Najib datang tiga kali tapi bertemu dengan bukan Melayu dengan menawarkan pelbagai insentif," ujarnya.
Dalam pilihan raya kecil semalam, Wong Ho Leng yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron memperoleh 232 undi.





Thursday, May 13, 2010

Judi bola sepak: PAS, PKR, DAP bantah keras

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Mei: PAS, PKR dan DAP walaupun pemimpin dan ahlinya berbeza agama dan bangsa sepakat membantah keras judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang diluluskan oleh Menteri Kewangan kepada Kumpulan Berjaya.

Dalam kenyataan berasingan mereka menyifatkan langkah ini satu yang silap dan hanya menghalalkan segala penyakit sosial yang berterusan di negara ini.

Semalam, media melaporkan, Menteri Kewangan telah meluluskan lesen judi bola sepak piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya dengan alasan untuk mengawal judi secara gelap.

Umno undur ke belakang - PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, langkah pihak kerajaan memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.

Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam.

Inilah yang dirancang oleh penjajah dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri, katanya dalam satu kenyataan.

Hasilnya, kata beliau, wajah Islam yang cuba dibawa oleh Umno dengan mendirikan masjid, pusat Islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang.

Akibatnya Umno juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar, katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang Melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum.

"Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi.

"Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS menyeru kepada penyokong-penyokong Umno yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam.


PKR bantah keras

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga membantah keras cadangan kerajaan BN untuk menghalalkan judi pertaruhan sukan, kata Ketua Penerangannya Latheefa Koya.

PKR dengan keras menyatakan bahawa menghalalkan perjudian sukan akan hanya menambah masalah penyakit sosial yang sedang melanda masyarakat.

Meluasnya judi sukan akan secara langsung menyerang tunjang budi pekerti (moral) masyarakat yang giat berusaha menghapuskan penyakit sosial seperti rasuah, jenayah keganasan seksual, penderaan dalam rumah dan pinjaman 'jerung' ah long.

Kerajaan BN tidak menghiraukan fakta bahawa golongan miskin dalam masyarakat akan menerima kesan buruk akibat pelaksanaan dasar judi ini.

Biarpun perjudian merupakan tabiat yang wujud pada setiap peringkat golongan masyarakat, namun ia memberi kesan besar terhadap golongan berpendapatan rendah yang sebenarnya tidak boleh kalah dalam perjudian mereka untuk cepat kaya.

Kajian menunjukkan golongan miskin lebih mudah terpengaruh dengan judi dan mempertaruhkan sebahagian besar daripada pendapatan mereka berbanding dengan golongan yang kaya, katanya.

Tambah beliau, Tidak ada jaminan bahawa menghalalkan perjudian sukan akan dapat menghapuskan judi haram. Malah ia akan memperbanyakkan lagi pembuat pertaruhan haram dan 'jerung' ah long pula akan menawarkan pertaruhan yang lebih baik dan menarik, termasuklah jerat pinjaman haram.

Cubaan tidak masuk akal Awang Adek untuk meluluskan rancangan ini sebelum Piala Dunia menunjukkan betapa rakusnya BN untuk mengeruk duit Rakyat, kata Latheefa.

Warga Malaysia menyukai Piala Dunia dan sukan bola sepak umumnya. Menghalalkan perjudian akan hanya membawa lebih ramai orang ke dalam kancah kitaran ganas yang berakhir dengan kemiskinan dan ketagihan judi, tambah beliau.

Lebih teruk lagi, kerajaan BN bersekongkol dengan agensi perjudian yang tidak telus dalam urus niaga kewangan dan keuntungan mereka, berbanding dengan negara-negara lain yang mana terdapat perjudian terkawal.

Cadangan ini hanyalah skim buat duit yang tidak bertanggungjawab dan dicadangkan oleh BN serta ianya merupakan permulaan yang berbahaya dan menghancurkan. Ia perlu ditolak dengan serta-merta, tegas beliau.


Najib perolokkan MEN - DAP

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam kenyataannya pula berkata, kelulusan lesen ini merupakan satu tindakan yang memperolokkan Model Ekonomi Nasional (MEN) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, rakyat Malaysia sangat terkejut dengan tindakan ini kerana Najib telah membentangkan model baru cara menjalankan perniagaan di Malaysia yang menurutnya akan lebih telus dan kompetitif.

Dalam ucapannya, Najib memberikan jaminan tidak lagi akan bertolak ansur dengan 'rent-seeking and patronage' (pengambil kesempatan dan perlindungan) dalam ucapannya semasa melancarkan MEN.

Kini, dengan menganugerahkan konsesi paling mewah untuk tahun ini kepada tokoh yang terkenal rapat dengan pemimpin BN, Tan Sri Vincent Tan, Najib telah membakul sampahkan segala ucapan dan janjinya sebelum ini, kata anggota Parlimen Petaling Jaya Utara.

"Yang paling sedihnya, ia dibuat dalam keadaan paling buruk, tiada permintaan terbuka untuk membuat cadangan dan tiada tender terbuka atau sebutharga untuk lesen judi sukan.

"Atas dasar apa Vincent Tan dianugerahkan konsesi bernilai bilion ringgit ini yang bukan sahaja akan mengkayakan dia tetapi dalam masa yang sama merosakkan rakyat melalui dorongan untuk berjudi," soal Tony Pua lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar menarik balik lesen ini dan membentuk satu Jawatankuasa Terpilih Dewan Rakyat untuk mengkaji kesan judi sukan ini kepada rakyat Malaysia.

"Jika diluluskan pun, pastikan ia dibuat secara tender terbuka, telus dan kompetitif atau sebut harga lelongan dibuat untuk mempastikan ia telus dan nilai wang terbaik untuk kerajaan dan rakyat," kata Tony.
Tindakan Jais halang Nik Aziz di masjid terus dipertikai

Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 13 Mei: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada menyampaikan khutbah di masjid pada kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor lepas terus dipertikai.

Menurut Abdul Rahman Talib (gambar) atau lebih dikenali sebagai blogger Tulang Besi, tindakan Nik Aziz berkhutbah Jumaat di masjid bukanlah ceramah politik, seperti yang didakwa Jais.

"Apa masalahnya Tok Guru berkhutbah kerana itu suruhan agama, beliau tidak berpolitik, Jais menuduhnya berpolitik di masjid," katanya.

Sebaliknya, menurut beliau, khutbah Jumaat wajar disampaikan oleh sesiapa sahaja agamawan yang dianggap layak dan disegani, seperti Nik Aziz yang juga Menetri Besar Kelantan.

Berbanding PAS dan Pakatan Rakyat, Umno BN, menurut beliau, terbukti menggunakan masjid untuk berkempen memenangkan calon BN, P Kamalanathan, seperti yang didedahkan Malaysiakini.com pada 6 Mei lalu.

Baginya, tindakan Umno BN tersebut sekaligus jelas bertentangan dengan titah Tuanku Sultan Selangor.

"Kain rentang ini sahaja dah cukup jelas untuk mengatakan tindakan Umno BN itu haram, bercanggah dengan titah Tuanku Sultan.

"Kenapa sibuk halang Tok Guru berdakwah di masjid, sedangkan Umno jelas berkempen atas nama BN di masjid," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi tampil membuktikan bahawa tindakan menghalang Nik Aziz berkhutbah itu tidak didalangi oleh mana-mana pemimpin Umno.

"Apa kelayakan Khusrin nak halang Tok Guru, dia kena jelaskan adakah tindakan Tok Guru itu salah di sisi agama," ujarnya lagi.

Bercakap di lobi Jais, beliau menjelaskan telah membuat suatu laporan rasmi kepada Jais supaya Khusrin menyatakan penyalahgunaan masjid oleh BN untuk berkempen.

Tambahnya lagi, suatu salinan laporan turut dikepilkan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar), Datuk Dr. Hasan Mohd Ali (Exco Agama, Adat Istiadat dan Infrastuktur) dan Theng Chang Khim (Speaker Dun) dan Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam).

Dalam perkembangan berkaitan, Utusan Malaysia pada 23 April lalu melaporkan bahawa inisiatif Khusrin menghalang Nik Aziz itu sebagai menjunjung titah Sultan.

Bagitupun, Khusrin tidak pula dilaporkan menghalang majlis bacaan Yaasin dan Solat Hajat bagi memenangkan Kamalanathan yang dianjurkan oleh Umno BN sendiri.

Khalid Samad turut mempertahan tindakan Nik Aziz, selain mempersoal tindakan Jais berdiam diri apabila Umno BN sendiri menggunakan masjid untuk berkempen politik.



harakahdaily.net
Mengapa Zambry tidak hadir di majlis Orang Asli

Harakahdaily

IPOH, 13 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) hairan dengan sikap berdalih Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkaitan isu masyarakat Orang Asli di negeri ini yang hanya dianggap cukup membuat lawatan sahaja ke kawasan penempatan mereka.

Naib Ketuanya, Salman Salleh berkata, Zambry menganggap lawatan seperti seolah-olah sudah menunjukkan keprihatinannya terhadap pembangunan dan kebajikan semua masyarakat Orang Asli selama ini.

Justeru, katanya DPPN Pk mempertikai majlis perasmian program 'Dekat di Mata, Lekat di Hati’ di Kampung Tangkai Cermin dan Kampung Cenderong Kelubi, Tanjung Tualang, baru-baru ini yang hanya dirasmikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Azhar Ahmad serta dihadiri pegawai khas (Hal Ehwal Orang Asli) Menteri Besar, Panjang Ali Sohor.

“Mengapa Datuk Seri Zambry tidak hadir sendiri bagi menyempurnakan majlis perasmian tersebut?” soalnya.

Ini, menurutnya jelas menunjukkan bahawa Zambry tidak prihatin terhadap masyarakat Orang Asli.

Katanya lagi, jika beliau tidak dapat hadir pada hari tersebut, maka majlis perasmian tersebut boleh dipinda atau diadakan di tempat yang lain.

”Mengapa hanya menghantar pegawai-regawai sahaja bagi merasmikan program yang dianggap penting tersebut?” katanya.

Ini, jelasnya tidak berlaku semasa pemerintahan negeri diterajui Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak dapat dinafikan akan keikhlasan dan keprihatinannya terhadap masyarakat Orang Asli.


harakahdaily.net

Sunday, May 2, 2010

Ugut bunuh Nik Aziz, lagi laporan polis dibuat

Hafiz Irwan

PENGKALAN CHEPA, 2 Mei: PAS Kawasan Pengkalan Chepa, membuat satu laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap Mursyidul Am Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh seorang pemilik akaun facebook, yang dikenali sebagai Mohd Safuan Hilmi.

Setiausahanya, Hassan Mamat membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, dekat sini.

Kehadiran beliau ditemani hampir 30 penyokong PAS.

"Saya membuat laporan ini kerana berpendapat kenyataan penulis itu adalah satu tulisan ataupun komen yang berunsurkan provokasi terhadap keselamatan dan juga satu ugutan jenayah secara terbuka terhadap seorang ketua sebuah kerajaan.

"Oleh itu kami (PAS) pohon pihak polis dapat membuat penyiasatan penuh dan seterusnya mendakwa penulis terbabit sebagaimana peruntukan undang-undang bagi mengelakkan budaya mengugut yang mengancam keselamatan orang lain daripada terus berleluasa" katanya ditemui di luar pejabat IPD.

Mohd Safuan, melalui laman web sosial facebooknya dikatakan telah menulis "Belum lengkap lagi sbb (sebab) sekor (seekor) lagi barua x (tidak) mati iaitu nik aziz. Tggu (tunggu) aku p (pergi) bunuh nik aziz dulu baru lengkap. Setan tu x layak duk kt (dalam) muka bumi ini lagi.

"Senang bunuh org (orang), tikam je, aku snggup (sanggup) dihukum gantung jika aku dpt (dapat) bunuh nik aziz al dajjal tu" katanya semasa berkomunikasi dengan salah seorang daripada rakan facebook.

Facebook Safuan Hilmi bagaimanapun di tutup selepas perkara itu menjadi perbincangan orang ramai di laman web sosial tersebut.

Dalam profil sebelum ini, Safuan meletakaan ahli Umno pada bahagian pandangan pilitiknya.

Semalam juga, Dewan Pemuda PAS Pusat, turut membuat laporan sama bagi menggesa pihak polis menyiasat ugutan bunuh itu.

Ketuanya, Nasrudin Hassan semalam turut meminta supaya pergerakan Pemuda Umno menafikan bahawa Mohd Safuan ini adalah ahli mereka.