Free Website Hosting

Tuesday, June 14, 2011

Umno benci nama Islam tapi mahu negara Islam?

wfauzdin.blogspot.com

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd. Puad Zarkashi kelmarin mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga hubungannya dengan parti pembangkang yang lain. Terfikir juga dibenak hati ini mengapa terlalu bencinya pemimpin Umno ini kepada nama `Islam'.



Pemimpin Umno semenjak dahulu hingga kini masih gagal mengemukakan hujah apakah kesalahan PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut. Kita tahu di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM, sudah ada usaha untuk mengharamkan nama `Islam' di dalam parti. Alhamdulillah, ketika itu Majlis Fatwa tegas menyebut bahawa tiada salahnya nama `Islam' dimartabatkan.



Sekiranya Umno yang memartabatkan nama bangsa Melayu dan semangat kebangsaannya di dalam parti mereka, apakah dosa besar bagi PAS untuk memartabatkan nama `Islam'? Jika mahu disebut dengan hujah betapa Umno lah sebenarnya `menjual' nama bangsa di dalam parti berkenaan, tidak cukup halaman untuk kita membuktikannya. Paling mudah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) ternyata gagal mengangkat bangsa Melayu walaupun telah berpuluh tahun ianya dilaksanakan sehingga dasar tersebut tenggelam begitu sahaja.



Di mana salahnya PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut? Adakah PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam? Adakah PAS merestui amalan rasuah dengan melantik kaki rasuah menjadi Ketua Menteri/MB Negeri atau Ketua Pemuda? Mungkin Ali Rustam dan KJ boleh menjawab hujah ini. Adakah PAS juga memilih kaki rasuah sebagai Wakil Rakyat? Mungkin Isa Samad tahu hal ini. Pernahkah PAS bercita-cita untuk meluluskan judi bola sepak Piala Dunia? Atau, pemimpin PAS terlibat dengan tragedi pembunuhan Altantuya? Mungkin Najib boleh terangkan jawapannya.



Pernahkan PAS merestui akta zalim Akta ISA yang diharamkan oleh Islam itu? Cuba buktikan siapa pemimpin PAS yang tidak bermoral dan isterinya tidak menutup aurat? Hal ini boleh ditanya kepada Najib dan Rosmah atau pun Shahrizat Jalil. Cuba pemimpin Umno berani sedikit untuk berhujah bagi menyatakan betapa PAS perlu membuang nama Islam di dalam parti tersebut kerana PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam.



Adakah dengan Konsep Negara Berkebajikan, bersahabat dengan DAP dan PKR boleh dianggap bertentangan dengan Islam? Adakah bersubahat dengan Umno yang menjadi sekutu Apco serta terus mengekalkan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, menyalahgunakan kuasa, mempertahankan kroni dan banyak lagi dasar Umno yang bertentangan dengan moral, akhlak serta Islam itu boleh dianggap bersesuaian dengan Islam?



Nampaknya Umno semakin tidak menentu apabila PAS kini membuka lebih luas ruang untuk rakyat menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Jika sebelum ini Umno terlalu gilakan DNA atau sumpah laknat DS Anwar, kini Umno mula tergila-gilakan `Negara Islam dan Hukum Hudud' pula. Setiap hari media pencacai mereka menyebut tentang Negara Islam yang kununnya telah ditinggalkan oleh PAS. Jika benar ikhlas, kuasa kini berada di tangan mereka, Nah, laksanakan lah jika benar-benar ikhlas.



Sehingga saya selesai menulis artikel ini, saya masih belum mendapat jawapan mengapa pemimpin Umno terlalu benci kepada nama `Islam' tetapi mahu kepada Negara Islam. Mungkinkah tahap meroyan Umno kini semakin kritikal?



Kalaulah Tony Blair pemimpin DAP


Mohd Nasir Awang

Mujur benar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair bukan warga negara ini. Jika tidak, besar kemungkinan beliau kini menjadi bahan cemuhan dan balunan para pejuang dan penjuak parti Melayu seantero Malaysia.



Akan bertalu-talu kecaman dan luah rasa tidak puas hati terhadapnya kerana dianggap menghina al-Quran dan memperalatkan kitab suci itu demi agenda politiknya.



Namun Blair terlepas dari menjadi fokus polemik sedemikian. Dia bukan pemimpin atau ahli mana-mana parti politik di Malaysia.



Lebih bernasib baik lagi, dia juga bukan pemimpin pembangkang yang terpaksa berdepan dengan karenah dan gelagat para pemimpin sebuah parti pemerintah negara yang rata-rata berfikiran sempit, kolot dan gemar memberi nilaian negatif terhadap apa juga dilakukan parti lawan.



Disebabkan tiada kaitan dengan Malaysia, maka kegemaran terbaru bekas pemimpin sekutu kuasa besar dunia itu tidak tertakluk kepada penafsiran buruk dan sembrono sejumlah pemimpin Melayu negara ini, khususnya yang bergelar pemimpin Umno dan kalangan yang sealiran pemikiran dengan mereka.



Beberapa media cetak hari ini (Selasa) melaporkan pendedahan terbaru Blair bahawa beliau membaca al-Quran setiap hari. Pemimpin Parti Buruh itu dipetik sebagai mengakui membaca kitab suci umat Islam itu bagi memastikan kefahamannya terhadap agama itu terus kukuh.



“Saya membaca al-Quran setiap hari. Sebahagiannya untuk memahami perkara yang berlaku di dunia, tetapi paling penting kitab ini sangat penuh dengan maklumat dan boleh menjadi sumber rujukan,” laporan itu memetik wawancara beliau dengan majalah Observer, edisi Ahad.



Bagi kita yang mengutamakan dakwah dan penyuburan kefahaman Islam di kalangan masyarakat dunia, kesediaan individu bukan Islam membaca dan mendalami isi kandungan al-Quran adalah perkembangan yang amat membanggakan lagi dialukan.



Lagi pun, sejak sekian lama kita sering didedahkan dengan kisah sebilangan tokoh dan sarjana terkemuka dunia yang akhirnya memeluk Islam selepas mendekatkan diri mereka kepada isi kandungan al-Quran. Umpamanya, kisah bagaimana Muhammad Assad (penulis tafsir al-Quran), Margaret Marcus @ Maryam Jameelah, Maurice Bucaille dan Lew Alcindor @ Kareem Abdul Jabbar menemui hidayah banyak dikaitkan dengan penelitian mereka terhadap keindahan khazanah tersimpan di dalam kitab suci itu.



Namun, sepertimana dibuktikan sebelum ini, tidak semua orang Melayu di negara kita (baca ‘orang Umno’) dapat menerima perkembangan sebegitu secara positif. Semacam ada peraturan dan persepsi umum bahawa menjadi pantang larang yang sangat besar bagi orang bukan Islam Malaysia membaca al-Quran.



Sejauh manakah fahaman sedemikian bertepatan dengan ajaran Islam tidak pula diperjelaskan. Namun setidaknya itulah persepsi yang telah terbentuk dalam masyarakat negara kita, terutama selepas berlakunya polemik agak panjang mengenai isu berkenaan dua tahun lalu.



Isu itu bermula dari tindakan berani seorang Ahli Parlimen DAP (bukan Islam) di Perak membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, April 2009.



Kegagalannya menyebut ayat itu dengan makhraj bahasa Arab yang betul dijadikan hujah kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu, kononnya bertujuan memperalatkan ayat suci bagi kepentingan politik.



Apatah lagi dalam ucapannya itu pemimpin DAP terbabit memang menujukan ayat tersebut kepada para pemimpin Melayu. Beliau malah secara jelas menyeru agar orang Islam benar-benar menghayati maksud ayat tersebut, yang antara lain memerintahkan mereka berlaku adil dan ihsan kepada sesama manusia.



Sudah tentu perlakuan sedemikian menjadi tamparan buat para pemimpin politik Islam, terutama sekiranya mereka sendiri amat jarang merujuk ayat al-Quran dalam ucapan mereka. Apabila seorang bukan Islam bersedia mempelajari al-Quran kemudian menjadikannya sandaran hujah dalam mengingatkan umat Islam, ia tidak syak lagi suatu yang mengaibkan umat Islam sendiri.



Ekoran insiden itu, beberapa pihak sealiran dengan parti pemerintah negara terus membantah. Bahkan ada yang tanpa tangguh membuat laporan polis, kononnya sebagai tanda tersangat prihatin terhadap kesucian al-Quran.



Beberapa tokoh agama juga disorot pandangan mereka. Bagai diduga, ulasan mereka memang bertepatan dengan aspirasi dikehendaki Umno. Secara mudah mereka menghukum (semata-mata berdasarkan apa yang dilaporkan media kroni Umno) bahawa apa yang dibuat pemimpin DAP itu suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.



Ada mufti malah mempersoalkan apa hak pemimpin bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramahnya sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?



Malah ada yang memanjangkan pertikaian itu dengan menghujah bahawa orang bukan Islam tidak sepatutnya dibenarkan menjamah naskhah al-Quran kerana jasmani mereka disifatkan tidak suci di sisi Islam.



Justeru, oleh kerana rakan utama DAP dalam pakatan pembangkang ialah PAS, apa juga dilakukan pemimpin parti bermajoriti kaum Cina itu dibahasakan sebagai mendapat restu rakan mereka dalam PAS.



Tidak pasal-pasal para pemimpin PAS, terutama kalangan ulama turut diganyang. Mereka disifatkan membisu dan takut menegur keterlanjuran pemimpin DAP, semata-mata kerana mahu menjaga persahabatan. Pemimpin PAS dianggap dayus dan sanggup menggadai kesucian Islam kerana membiarkan pemimpin DAP menyentuh dan membaca al-Quran.



Itulah kefahaman yang secara terbuka dilontarkan ke tengah masyarakat. Bahawa orang bukan Islam tidak sewajarnya dibenarkan membaca kitab suci umat Islam. Juara menjulang ‘isyarat salah’ ialah para pemimpin Umno. Isu itu pula sengaja dipolemikkan media talibarut parti itu.



Sebab itu kita mengandaikan sekiranya Blair rakyat negara ini dan terlibat di pentas politik Malaysia, lebih-lebih lagi sebagai pemimpin pembangkang, sudah tentu dia tidak akan terlepas dari menjadi bahan serangan serupa.



Kalau sekadar membaca sepotong ayat suci oleh pemimpin DAP itu pun sudah dicemuh sebagai menghina dan mempersenda al-Quran, inikan pula menjamah, membelek dan menatapnya setiap hari?



Niat Blair mendalami al-Quran siang-siang lagi akan dianggap sebagai mempersenda dan memperalatkan kitab suci itu. Apatah lagi beliau mengakui pengetahuan mengenai Islam diperolehinya dari al-Quran membantunya melaksanakan tugas sebagai duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia ke Timur Tengah.



Blair diutus dalam usaha kuartet itu menyelesaikan konflik Israel-Palestin. Lalu dapat kita telah bahawa beliau akan dipersoal dan dianggap cuba mempersenda al-Quran kerana atas alasan beliau membacanya bukan kerana beriman dengan firman Allah, tetapi demi kepentingan politik dan tugas duniawinya.



Lebih buruk lagi, penafsiran negatif oleh pemimpin ultra-Melayu itu boleh diperjela-jelankan dengan mengaitkan niat Blair yang mewakili ‘polis dunia’ itu atas perancangan memusuhi dan memangsakan negara-negara Islam. Maka sudah tentu tindakannya membaca dan mendalami al-Quran itu boleh dinilai sebagai sekadar memperalatkan kitab suci itu untuk berdepan umat Islam sendiri.



Tidak mustahil akan ada NGO yang membuat laporan polis terhadap Blair dan mengadakan demonstrasi membantah tindakannya itu. Bukankah itu yang semakin menjadi kelaziman di negara kita mutakhir ini?



Fahaman salah mengenai keharusan orang bukan Islam mendekati al-Quran yang ditaja Umno itu wajar diperbetulkan. Ia bertepatan dengan hasrat diluahkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam ucapan dasarnya, 3 Jun lalu.



Antara lain kata Tuan Guru, “umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya apabila tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk. Maka PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini”.



Negara Berkebajikan: PAS kebah Umno demam


Wan Nik Wan Yusssof

Muktamar PAS ke-57 lalu mencipta satu lembaran baru dengan warna yang terang dan ceria. Ia selari dengan keputusan pemilihan ‘saf pilihan raya’ yang agak sepadan (matching) dengan tema dan kandungan ucapan dasar presiden, Membangun Negara Berkebajikan.

Kandungan ucapan dasar itu dikira sebagai suntikan vaksin mujarab bagi PAS untuk lebih sihat dan bertenaga melangkah ke medan pilihan raya umum ke-13. Betapa misi dan aturan kerja parti PAS sudah jelas untuk menawan sokongan rakyat. Ini kerana program berkebajikan adalah hak dan keperluan majoriti rakyat masa kini.

Sekaligus, pihak pimpinan Umno kelihatan gelisah dan meracau di siang hari, apabila dikhabarkan program berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat. Maka logiknya Umno sudah mengalami suhu badan mencecah paras ‘demam panas’. Apa pun PAS tidak seharusnya setakat menjadi pelawat kepada pesakit demam panas. Apa yang diingini PAS sepatutunya sedia menjadi doktor terus memberitahu rakyat supaya tidak lagi menghampiri Umno yang sudah demam yang mengancam kesihatan awam. Sewajarkah rakyat membawa Umno ke ‘wad sakit’ dalam pilihan raya nanti?

Bukti Umno sudah mengalami demam panas boleh disaksikan daripada komen ‘meracau’ pimpinan mereka tentang negara berkebajikan. Bermula daripada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (The Malaysian Insider, 10 Jun 2011) yang menganggap PAS mengikut jejak kerajaan Barisan Nasional dalam isu negara berkebajikan.

Ia suatu respons Mohd Najib terhadap ucapan dasar Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar PAS ke-57. Komen sebegitu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bertaraf perdana menteri kerana denyutan jantung rakyat sentiasa kencang (melebihi 60 denyutan seminit) selama di bawah dasar dan program kerajaan pimpinan Umno yang banyak mendera rakyat.

Hakikatnya ia sudah bercanggah dengan nilai-nilai berkebajikan––petrol dan gas naik harga mendadak, semua pelajar lepas IPT menjadi pemiutang pelajaran, harga air minuman botol semahal harga minyak, pemborosan wang rakyat kerana terlalu banyak lawatan rasmi ke luar negara dan tiada jaminan pendapatan rakyat meningkat sebaliknya pendapatan kapitalis terus berganda. Kesemuanya menderakan rakyat!

Apa yang jelas, pemimpin Umno sudah kabur (kemamar) bila melihat negara berkebajikan tawaran PAS adalah realistik menurut persepktif Islam. Maka Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin (The Malaysian Insider, 5 Jun 2011) telah menyifatkan PAS sudah mengubah matlamat perjuangan Negara Islam kerana mahu membangun negara kebajikan. Malah menafikan matlamat PAS, sebaliknya menegaskan kononnya Malaysia sudah lebih awal melaksana negara berkebajikan. Nampak sangat gopohnya Muhyidin di dalam memahami maksud negara berkebajikan yang dihurai oleh presiden PAS.

Turut memberi respons yang songsang (mungkin kerana demam panas) ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Utusan Malaysia, 11 Jun 2011). Nor Yacop sangat kabur tentang konsep negara berkebajikan. Justeru bagi Nor Yacop kerajaan Barisan Nasional sudah lama mengamalkan konsep negara kebajikan. Agak pelik pula, berkebajikan itu disamakan dengan langkah transformasi ke arah negara maju menjelang 2020.

Nampak jelas menteri itu seorang yang temberang, kerana tidak merasai sama denyutan kencang jantung rakyat akibat permainan ‘ekonomi kapitalis’ yang segala-galanya mendahulukan kelompok kapitalis.

Sekarang rakyat terus dipaksa membayar lebih, sebagaimana harga minyak disel sudah mencecah RM1.90 sen (akan naik lagi ke paras RM2.00), sedangkan Malaysia pengeluar minyak. Jika dilihat kepada Arab Saudi yang juga pengeluar minyak, harga diselnya hanya SR0.25 seliter (bersamaan RM0.22). Begitu pula, harga kenderaan, termasuk yang diimport amat mahal akibat dasar percukaian yang mesra kapitalis. Misalnya, harga kereta Toyota Camry di Malaysia melebihi RM180 ribu, sedangkan di Arab Saudi yang lebih jauh dari bumi Jepun, harga Cuma SR90 ribu (sekitar RM79 ribu). Bayangkan nilai cukai yang duipaksa bayar oleh rakyat semata-mata ingin memakai kereta Toyota tersebut.

Oleh itu, sewajarnya omongan berkebajikan jajaan pemimpin Umno itu boleh difahami sebagai negara bercukai. Cukai dikutip sudah melebihi kadar yang mesra rakyat, sebaliknya sudah membebankan. Munasabahnya kerajaan Barisan Nasional hari ini dipanggil kerajaan bercukai memaksa dan membeban rakyat. Natijahnya, Saudi Arabia yang dilitupi padang pasir itu lebih berkebajikan dan mesra rakyat.

Apa beza kebajikan Malaysia dibandingkan Arab Saudi? Sangat ketara bezanya ialah untung harga minyak dikaut kapitalis milik negara, iaitu Petronas! Berapa banyak untung itu dipulangkan untuk kebajikan rakyat? Lihat sahaja bangunan milik Petronas, Menara Kembar di Kuala Lumpur, tidak sampai 10 peratus rakyat menerima lelehan minyak itu!

Model berkebajikan tajaan Umno tidak mendahulukan rakyat kerana kesemua aspek daruriyat rakyat sudah dikapitaliskan. Aspek pendidikan telah diIPTA dan diIPTSkan yang kesemuanya memaksa rakyat membayar sendiri. Kerajaan Barisan Nasional telah bertindak sebagai pemudahcara menyedia wang untuk dipinjam dan dikenakan faedah (berlindung di sebalik perkataan caj perkhidmatan) secara paksa.

Lagaknya kebajikan itu sudah berupa ‘along’ yang halal. Belum lagi dibicara isu kebajikan hospital, tabung penanaman semula Felda dan skim Amanah Ikhtiar! Natijahnya, dasar berkebajikan di sisi kerajaan Barisan Nasional adalah bermaksud rakyat perlu membayar lebih untuk hidup, sementara kerajaan pengaut untung di belakang tabir. Kesannya rakyat terdera dengan kelicikan aturan dan peraturan yang diabsahkan oleh kuasa demokrasi yang sudah tua, berusia 54 tahun!

Namun, seorang pensyarah undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari (The Malaysian Insider, 10 Jun 2011) kali ini agak bersetuju dengan misi negara berkebajikan PAS. Menurut Abdul Aziz, PAS sudah pun menekankan soal negara berkebajikan sejak akhir 1970-an.

Mungkin yang dimaksudkan Dr. Aziz ialah sebagaimana amalan PAS ketika memerintah Kelantan era 1960-an dan masa kini (terlalu banyak, tidak perlu disebut di sini). Malah semua pihak mengetahui. Cuma pemimpin Umno sahaja tidak mengaku yang mereka sebenarnya tahu aspek kebajikan ditawarkan oleh kerajaan Kelantan di bawah pimpinan ulama, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Justeru, kenyataan Dr Aziz itu telah membela PAS, sekaligus menolak dakwaan Mohd Najib dan Muhyidin serta Nor Yacop. Sebenarnya PAS tetap istiqomah dengan dasar perjuangan Islam. Apa yang nyata, hala tuju bernegara masih menjadi matlamat PAS. Justeru Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (The Malaysian Insider, 9 Jun 2011) menegaskan ‘negara berkebajikan” adalah lebih menepati maksud konsep bernegara adalah selari dengan Islam yang terdapat di dalam al-Quran.

Paling membuat Umno terus mengalami demam panas ialah tatkala Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya (Malaysiakini, 11 Jun 2011) turut memberi respon. Sahibul samahah yang dilihat ‘berpolitik’ itu sudah mencadangkan agar PAS mengadakan jawatankuasa pemandu merangka konsep negara berkebajikan memandangkan kedua-dua kerajaan Barisan Nasional dan PAS (Pakatan Rakyat) berebut-rebut cuba membuktikan mereka berada di depan dalam agenda tersebut.

Apa pun pandangan Dr. Juanda itu amat bermakna ke arah memantapkan hala tuju perjuangan Islam agar mudah diterima rakyat. Justeru pandangan mufti negeri yang paling utara itu boleh dianggap sebagai aulawiyat (keutamaan) kerana momentum kesedaran rakyat sedang amat kuat kepada PAS dan Pakatan Rakyat!

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menegaskan pihak parti bakal mengadakan munaqasyah ucapan dasar presiden pada muktamar lalu amat dialu-alukan demi memperincikan konsep negara berkebajikan itu. Ia perlu disegerakan bagi melengkap pengetahuan kepada pimpinan dan ahli PAS. Malah ia cukup penting bagi menjawab cakap merapu (umpama orang demam panas) pimpinan Umno yang menidakkan penegasan PAS dalam usaha membangun negara berkebajikan. Syabas, pimpinan PAS yang diperbaharui semula pada muktamar lalu.

Wan Nik Wan Yusssof adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.
Kembalikan RM594 juta wang Yayasan Selangor


Harakahdaily

AMPANG, 14 Jun: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa agar Perdana Menteri membuktikan kata-katanya supaya segera mengesan semula RM594 juta dan 50 unit kondominium milikan Yayasan Selangor yang 'hilang' sewaktu pentadbiran Umno Selangor sepanjang 1991 hingga Mac 2008.

Ini ekoran sesi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Ampang dua hari lalu ada mendakwa bahawa kononnya pentadbirannya sentiasa telus dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, sebanyak 15 projek dan 10 syarikat telah dikenal pasti sebagai punca ketirisan mega itu berlaku.

Katanya, kehilangan RM594 juta itu adalah suatu yang amat serius kerana ianya melibatkan dana awam dan wang pembayar cukai rakyat di negeri Selangor.

Tambahnya, pihak yang bertanggungjawab harus segera dibawa ke muka pengadilan kerana wang rakyat harus segera dikembalikan.

“Maka, andai benar Perdana Menteri mahu membantu rakyat seperti yang didakwanya, saya menggesa agar beliau bersedia menggunakan kuasanya, walau dengan apa cara sekalipun, supaya RM594 juta dan 50 unit kondominium milik Yayasan Selangor dapat dikembalikan semula, seterusnya dapat diagihkan untuk program pembangunan dan kebajikan rakyat, khususnya di Selangor,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi PKR Selangor.