Free Website Hosting

Tuesday, April 27, 2010

Keluarga juvana mati ditembak polis tuntut penjelasan

Dzulfikar Mashoor


SHAH ALAM, 27 April: Norsiah Mohamad, 60, ibu kepada juvana yang mati ditembak anggota polis menyuarakan rasa kecewa dengan dakwaan polis serta laporan media kononnya arwah Amirul Rashid Hamzah, 15, dibunuh kerana polis mensyakinya sebagai penyamun.

"Bila polis kata (dakwa) anak saya disyaki terbabit geng samun, saya sekeluarga memang tidak boleh terima," ujar beliau sambil sebak menahan air mata di kediaman mereka sekeluarga, petang ini.

"Dia anak yang baik, dia pemain ragbi, ahli sukan, semua sukan dia masuk. Kalau bulan puasa, dia memang di surau, kalau pergi surau, siapa tak kenal dia."

Disebabkan itu, beliau meminta pihak berwajib memberikan pembelaan yang sewajarnya kepada anak bongsu kepada lapan beradik tersebut.

"Saya ibu pada arwah, anak bongsu saya (Aminul) ini mendapat pembelaan yang sewajarnya. Saya harap anak saya disiasat dengan telus, itu saja," ujarnya,

Kakak mangsa, Tuty Syaninza Anum Hamzah, 36, pula tidak menyedari arwah memandu kereta suaminya untuk keluar bersama-sama kawan sekelas menonton kejohanan bola sepak Eropah.

Beliau mula menyedari apabila suaminya, Muzaffar Mahalli, 36, menghubunginya dan meminta beliau melihat keadaan kereta di luar kediaman.

Pada ketika itu, menurutnya, kelihatan polis serta penduduk tempatan sedang berhimpun mengelilingi keretanya.

Pun begitu, beberapa pegawai polis, menurut beliau, seakan cuba mengelak untuk memberitahu keadaan sebenar pemandu kereta terbabit, iaitu adiknya.

Sekitar jam 3 pagi, beliau bersama suaminya membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, di sini.

Ditanya tentang wujudnya senjata berupa parang di dalam kereta terbabit seperti yang didakwa polis dan media, beliau menafikan sekeras-kerasnya.

Bagaimana pun, Kamaruddin Hassan, waris terdekat kepada arwah dalam nada yang pasrah meminta polis menyiasat insiden tersebut serta memberi kebenaran seperti yang dituntut oleh keluarga arwah.

"Biarlah polis siasat, sebelah pihak dah buat laporan, kita pun dah buat laporan, biar polis buat laporan, kita hanya nakkan kebenaran," ujar beliau di depan lebih 15 wartawan.

Dalam perkara yang berkaitan, selain insiden bunuh yang membabitkan juvana tersebut, integriti polis Oktober tahun lalu turut tercalar oleh kes tembakan liar yang membabitkan seorang balu, Norizan Salleh.

Monday, April 26, 2010

Hulu Selangor tidak jejas komitmen Pakatan Rakyat 'ke Putrajaya'


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 April: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (gambar) menyeru seluruh pendukung Pakatan Rakyat supaya menjadikan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam untuk meningkatkan semangat dan istiqamah di dalam perjuangan menuju 'ke Putrajaya'.

“Keputusan pilihan raya itu memberi ruang kepada kita untuk terus meningkatkan komitmen dan istiqamah memantapkan perjuangan Pakatan Rakyat sama ada dalam pilihan raya kecil selepas ini atau pilihan raya umum akan datang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok ketika dihubungi pagi ini.

Tambahnya, keputusan itu tidak sekali-kali menjejaskan matlamat perjuangan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti.

Menurutnya, hasrat `ke Putrajaya’ hendaklah menjadi fokus utama para pendukung Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Selaku Pengarah Pilihan raya PAS pada pilihan raya kecil itu, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para petugas parti dan Pakatan Rakyat dari seluruh negara yang bertungkus lumus bekerja bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Datuk Zaid Ibrahim.

PAS, ujarnya, menerima keputusan pilihan raya itu dengan hati terbuka dalam konteks demokrasi.

“Kita tidak anggap ia sebagai kekalahan tetapi tak menang saja,” ujarnya seloroh berdasarkan undi majoriti di ketiga-tiga Dun dalam Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya umum lalu menyaksikan Pakatan Rakyat memperolehi 20,108 undi di Dun Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Baru berbanding BN berjumlah 26,264 sementara 23,177 undi bagi kerusi parlimen sementara BN pula 22,979 undi.

Pada pilihan raya kecil semalam, Datuk Zaid Ibrahim yang mewakili Pakatan Rakyat daripada PKR mendapat 23,272 undi sementara calon MIC (BN), P Kamalanathan memperoleh 24,997 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Berdasarkan keputusan pilihan raya kecil semalam, Pakatan Rakyat berjaya menambah sebanyak 95 undi berbanding pilihan raya umum 2008 sementara BN meningkat 2,018 undi.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan 48,935 daripada 64,500 pengundi atau 75.87 peratus keluar membuang undi manakala 47,845 pengundi daripada 63,593 atau 75.24 peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Sunday, April 18, 2010

Pengalaman Zaid akan menangkan PR

Nazri Abdullah

HULU SELANGOR, 18 April: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berpendapat pengalaman luas calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim sudah cukup memberikan peluang kemenangan PR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor.

Beliau ketika diminta mengulas kelebihan yang ada pada calon taruhan PR berkata, Zaid seorang yang tahu selok belok pentadbiran negara dan juga permasalah yang sering membelenggu rakyat.

"Saya melihat petanda bahawa kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat bawahan.

"Pengalaman beliau (Zaid) menjadi Menteri, mengurus sebuah syarikat guaman terbesar di Malaysia, akan membantu memenangkan beliau, membantu Pakatan Rakyat di Parlimen dan memperkukuh Pakatan Rakyat mendepani politik mendatang," katanya.

Mengulas pertandingan empat penjuru pula Nasharuddin berkata, Zaid dilihat paling menonjol kebolehannya manakala penyertaan dua calon bebas jelasnya tidak sedikitpun menggugat kedudukan Zaid sebagai calon terbaik pilihan rakyat Hulu Selangor.

"Saya tidak melihat ada sebarang kekuatan pada calon bebas kerana rakyat tahu mereka ini tidak punya sebarang dokongan dan asas untuk membantu rakyat dan membela nasib mereka," katanya lagi.

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim(PKR),P.Kamalanathan (BN), dan dua calon Bebas VS Chandran dan Johan Mohd Diah.


http://harakahdaily.net/


Baru kami sedar, BN tidak minat bela rakyat


Azim Fitri

KOTA KINABALU, 18 April: “Sekarang kami baru sedar, BN memang tidak berminat untuk membela rakyat. Kami tertipu dan ditipu oleh para pemimpin BN,” kata seorang anak muda di Kampung Bakau, Likas yang mahu dikenali sebagai Jaidin.
Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di kawasanParlimen Hulu Selangor menolak BN dan menyokong Pakatan Rakyat agar peristiwa yang menyayat hati di kampung itu baru-baru ini tidak berulang di Hulu Selangor.

Ini ekoran tindakan kejam Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri meroboh rumah-rumah penduduk setinggan di kampung itu yang amat menyayat hati dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila oleh penduduk.

Tanpa belas kasihan, para pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama anggota Rela meroboh satu demi satu rumah penduduk yang rata-ratanya miskin dan daif bermula 12 April lalu yang dijangka berakhir 24 April ini.

Paling menyedihkan kakitangan DBKK dan Rela tergamak meroboh sebuah rumah ketika penghuninya sedang menikmati juadah makanan mereka.

Tidak cukup dengan itu, orang-orang suruhan kerajaan BN ini telah merosakkan harta benda penduduk seperti barangan elektrik, perabot dan sebagainya.

“Selama ini saya dan keluarga setia menyokong Barisan Nasional tetapi kenapa ini balasan yang kami terima? Saya ada sembilan orang anak dan enam orang masih bersekolah. Rumah saya diroboh dan sekarang kami tidak tahu mahu tinggal di mana,” kata Nasron yang tinggal bersama keluarga di sebuah pondok sempit dan usang. (Gambar bawah)

Dengan nada sebak Nasron memberitahu: “Kami ini seperti tiada harga, dibuat macam binatang. Lebih teruk lagi daripada Yahudi. Kami dihalau tanpa bayaran pampasan satu sen pun. Saya disuruh ke Telipok Ria (perumahan rakyat) tetapi saya perlu membayar wang deposit sebanyak RM700.

“Itu belum campur kos pendawaian elektrik yang lebih kurang kosnya RM2,000. Manakala anak saya bersekolah di Kampung Likas, tambang seorang menjadi RM80 sebulan. Maka dengan enam orang anak kos tambang sekolah sudah mencecah RM480 yang mana saya sendiri tidak mampu sediakan semua itu”.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Bakau, Nasir Ahid penduduk telah mendiami di situ selama 30 tahun iaitu awal tahun 1980-an lagi.

Pada waktu itu, katanya penduduk yang berasal dari Semporna, Kudat dan Kota Marudu telah datang meneroka dan membina perkampungan di tanah paya seluas 23 ekar. Kesemua mereka Bumiputera malahan pengundi Kampung Bakau saja berjumlah 3,000 orang.

“Pada masa itu, salah seorang ahli JKKK telah mempelawa saya membina rumah di sini dengan keluasan 30 x 40 kaki. Kebenaran yang diberikan membolehkan saya membina rumah untuk kami sekeluarga menumpang teduh dan meneruskan kehidupan,” kata seorang pesara polis yang tidak mahu dikenali.

Kini beliau telah bersara manakala isterinya bekerja sebagai tukang sapu dengan gaji sebanyak RM17 sehari.

“Apabila kerajaan mahu meroboh rumah kami, saya tidak tahu mahu ke mana kerana saya tidak mempunyai tanah dan wang,” katanya.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Radin memberitahu: “Saya membuat panggilan kepada Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Jumat Idris untuk memohon bantuan kerana penduduk Kampung Bakau hidup kegelapan setelah pihak SESB memotong bekalan elektrik sejak Isnin lagi. Lantas Jumat menjawab ada baiknya juga hidup dalam kegelapan,” katanya yang tidak berpuas hati dengan lagak sombong pemimpin Umno itu.

Robohnya rumah-rumah Kampung Bakau itu diiringi dengan tangisan dan hancur berkecainya harapan penduduk untuk terus menikmati kehidupan yang aman dan damai.

Suatu ketika dahulu, apabila menjelang pilihan raya, wakil rakyat Dun Karambunai sekarang, Jainab Ahmad telah memberi jaminan bahawa nasib penduduk kampung itu akan dibela dan dipertahankan.

Namun apabila rumah-rumah mereka telah ranap diroboh, wakil rakyat tidak muncul-muncul. Kini semuanya itu ternyata hanya janji-janji kosong belaka.

http://harakahdaily.net/                                                                               

 
   
Presiden PAS arah sokongan 100% kepada Zaid


Zulkifli Sulong

HULU SELANGOR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor adalah pilihan sebulat suara PAS, PKR dan DAP.

Oleh itu, beliau mahu semua pihak dalam PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat itu.

Abdul Hadi berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis meraikan para petugas PAS dari Terengganu yang berkumpul di Felda Sungai Tengi, Ulu Bernam petang tadi.

Lebih 100 petugas PAS dari negeri itu berkumpul di situ dan menerima amanat dari beliau serta lain-lain pimpinan PAS sebelum menjalankan tugas sehingga pilihan raya kecil ini pada 25 April nanti.


"Ada orang buat macam-macam tuduhan kepada Datuk Zaid masa dia Umno dulu. Saya tegaskan, kalau adapun itu masa dia dalam Umno. Sekarang dia sudah bersama kita dan dah meninggalkan Umno," kata beliau penuh semangat diiringi takbir dari para penyokong PAS.

Bagi beliau, Zaid adalah tokoh kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin.

"Ketika para pemimpin Umno lain berebut-rebut nak jadi pemimpin, dia meletakkan jawatan sebagai menteri kerana menentang salah guna ISA," kata Abdul Hadi merujuk tindakan Zaid melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana membantah tindakan kerajaan menahan tiga orang termasuk seorang wartawan di bawah ISA.

Berhubung dengan tindakan firma guaman Zaid menyaman kerajaan negeri Kelantan kerana meluluskan undang-undang Hudud, Abdul Hadi menegas itu apa yang Zaid buat sebagai pemimpin Umno dan dia telah menarik balik tindakan itu.

"Itu semasa dia bersama Umno...sekarang dia sudah keluar dari Umno. Baru-baru ini dia dah pergi menunaikan haji....kita yakin dia telah berubah selepas bersama kita," kata beliau.

Abdul Hadi juga memberitahu, selepas Zaid meletakkan jawatannya dan keluar dari Umno, beliau juga ada berbincang dengan para pemimpin PAS untuk menyertai parti Islam itu atau menyertai PKR. Selepas berbincang termasuk dengan pemimpin PKR, mereka bersetuju Zaid perlu menyertai PKR.

Ucapan Abdul Hadi di majlis itu penuh semangat serta menjawab pelbagai persoalan panas yang berbangkit dalam pilihan raya kecil ini walaupun hujan mencurah-curah ketika beliau berucap sehingga banjir kilat di sekitarnya.

Felda Sungai Tengi adalah salah satu kawasan Felda yang menjadi kubu Umno dalam Dun Hulu Bernam di Hulu Selangor. Dalam pilihan raya umum lalu, calon PKR, Datuk Dr Zainal kalah lebih 600 undi di peti undi itu.

Dalam pilihan raya ini, Umno menjadikan empat kawasan Felda sebagai pangkalan gerakan mereka untuk memenangkan calon BN, P Kamalanathan dari MIC.

Namun, ketidakpuasan hati ahli Umno di situ jelas dalam pilihan raya ini. Mereka melalui Umno Hulu Selangor berusaha keras untuk mempastikan seorang calon Umno bertanding dalam pilihan raya kecil ini, namun apa yang mereka dapat adalah kosong berbanding MIC yang mendapat tiga menjelang hari penamaan calon.

Selain dapat menjadi calon, Timbalan Presiden MIC, G Palanivel yang mereka tidak sukai dikatakan akan dilantik menjadi senator dan timbalan menteri.

Salah seorang dari mereka berkata, jika BN menang dalam pilihan raya kecil ini, harapan untuk calon Umno bertanding di kawasan Parlimen yang majoriti orang Melayu ini akan hilang terus.


http://harakahdaily.net/

Saturday, April 17, 2010

Zaid prihatin isu pemilikan tanah adat Orang Asal


Harakahdaily

HULU SELANGOR, 16 April:

Calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid Ibrahim akan mengangkat isu pemilikan tanah adat Orang Asal dalam manifestonya pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Dengan pengalaman luasnya yang pernah menjawat jawatan menteri di kabinet, beliau juga akan memberi perhatian terhadap taraf sosioekonomi mereka yang diabaikan sejak 50 tahun lalu.

Zaid sebelum ini antara yang lantang menyuarakan keprihatinannya terhadap nasib Orang Asal di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Beliau banyak berbincang dengan peguam dan aktivis hak tanah adat di Sarawak beserta melawat perkampungan Orang Asal di Bidor dan Temerloh bagi mengetahui dengan lebih jelas permasalahan-permasalahan mereka.

Beliau juga telah menyatakan sokongan tentang pentingnya Malaysia menggubal dasar tentang 'Hak-Hak Orang Asal Malaysia' bagi menjamin kesejahteraan masyarakat tersebut dan hak tanah adat mereka.

Beliau sebelum ini turut menyatakan kegusaran bahawa Orang Asli Semenanjung tidak disenaraikan sebagai “Bumiputera” oleh Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan.

Zaid percaya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal, tetapi juga disebabkan kemiskinan mereka.

Ianya selaras dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu melihat nasib Orang Asal dibela dan diberi fokus dalam pentadbiran pakatan rakyat.

Dalam Bajet 2010 yang dibentang November tahun lalu, Kerajaan Negeri Selangor menyatakan komitmen untuk memberi milik tanah-tanah pusaka itu kepada Orang Asli yang berhak.

Untuk penyelesaian itu, Selangor telah menubuhkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli yang diketuai dan dianggotai oleh wakil-wakil Orang Asli sendiri bertujuan memastikan bahawa masalah-masalah tanah yang sedang dihadapi oleh Orang Asli dapat diselesaikan melalui perbincangan dengan kerajaan negeri.

Sehingga hari ini, masih banyak terdapat kampung-kampung Orang Asli tidak mendapat bekalan elektrik, air minuman bersih, dan jalan raya di mana Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di bawah Kerajaan Persekutuan gagal menyediakan dana sebelum ini.

Ekoran itu, kerajaan Selangor juga memperuntukan sebanyak RM500 ribu untuk menjalankan projek perintis bagi menaik taraf hidup kumpulan itu.
Pengundi India protes bantah Umno kawal MIC

Hashim Abdullah

TEMERLOH, 17 April:

Para pengundi India di kawasan Parlimen Hulu Selangor dijangka akan melakukan undi protes kerana bosan dengan cara pemimpin Umno mengawal parti MIC sehingga menyebabkan pemimpinnya hilang kredibiliti.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pahang, N Balasubramaniam berkata, beliau telah dua hari meninjau kawasan pilihan raya kecil itu dan mendapati masyarakat keturunan India tidak berpuas hati dengan cara pemimpin Umno menolak Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai calon BN.

“Kaum India tidak dapat menerima cara pemimpin Umno BN menjatuhkan pimpinan kanan MIC, seorang timbalan presiden parti komponen BN. Saya tengok MIC ada masalah kerana Umno Selangor kontrol. Mereka paksa calon tajaan Umno, ini bukan calon MIC, mereka tolak kepimpinan MIC, kita percaya kaum India marah,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya Pakatan Rakyat (PR) melalui calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Ini, katanya ditambah pula dengan langkah kerajaan Selangor yang telah banyak berjasa kepada rakyat walau pun baru dua tahun memerintah.

“Kita nampak kerajaan Selangor telah menyumbang banyak jasa kepada semua rakyat tanpa mengira kaum walau pun dua tahun memerintah. Kita rasa peluang kita agak cerah tetapi kita perlu hati-hati dengan rasuah yang selalu dimainkan Umno/BN,” katanya.