Free Website Hosting

Saturday, April 17, 2010

Zaid prihatin isu pemilikan tanah adat Orang Asal


Harakahdaily

HULU SELANGOR, 16 April:

Calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid Ibrahim akan mengangkat isu pemilikan tanah adat Orang Asal dalam manifestonya pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Dengan pengalaman luasnya yang pernah menjawat jawatan menteri di kabinet, beliau juga akan memberi perhatian terhadap taraf sosioekonomi mereka yang diabaikan sejak 50 tahun lalu.

Zaid sebelum ini antara yang lantang menyuarakan keprihatinannya terhadap nasib Orang Asal di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Beliau banyak berbincang dengan peguam dan aktivis hak tanah adat di Sarawak beserta melawat perkampungan Orang Asal di Bidor dan Temerloh bagi mengetahui dengan lebih jelas permasalahan-permasalahan mereka.

Beliau juga telah menyatakan sokongan tentang pentingnya Malaysia menggubal dasar tentang 'Hak-Hak Orang Asal Malaysia' bagi menjamin kesejahteraan masyarakat tersebut dan hak tanah adat mereka.

Beliau sebelum ini turut menyatakan kegusaran bahawa Orang Asli Semenanjung tidak disenaraikan sebagai “Bumiputera” oleh Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan.

Zaid percaya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal, tetapi juga disebabkan kemiskinan mereka.

Ianya selaras dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu melihat nasib Orang Asal dibela dan diberi fokus dalam pentadbiran pakatan rakyat.

Dalam Bajet 2010 yang dibentang November tahun lalu, Kerajaan Negeri Selangor menyatakan komitmen untuk memberi milik tanah-tanah pusaka itu kepada Orang Asli yang berhak.

Untuk penyelesaian itu, Selangor telah menubuhkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli yang diketuai dan dianggotai oleh wakil-wakil Orang Asli sendiri bertujuan memastikan bahawa masalah-masalah tanah yang sedang dihadapi oleh Orang Asli dapat diselesaikan melalui perbincangan dengan kerajaan negeri.

Sehingga hari ini, masih banyak terdapat kampung-kampung Orang Asli tidak mendapat bekalan elektrik, air minuman bersih, dan jalan raya di mana Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di bawah Kerajaan Persekutuan gagal menyediakan dana sebelum ini.

Ekoran itu, kerajaan Selangor juga memperuntukan sebanyak RM500 ribu untuk menjalankan projek perintis bagi menaik taraf hidup kumpulan itu.

No comments:

Post a Comment