Free Website Hosting

Sunday, September 27, 2009

Rasuah: Malaysia merudum lagi, lebih buruk dari Botswana dan Bhutan
Abdul Aziz Mustafa
Sun Sep 27, 09 10:10:03 am MYT

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke 47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikeluarkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.

Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 billion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 15000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep "check and balance" (semak dan imbang)

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati.

Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil dari usaha memerangi rasuah itu. _

Monday, September 21, 2009

SIS agen musuh Islam - Ketua Dewan Ulama PAS
Harakahdaily
Mon Sep 21, 09 7:39:19 am MYT

HULU TERENGGANU, 21 Sept:" 'Sisters In Islam' (SIS) ni menjadi agen, agen musuh Islam di peringkat antarabangsa. Kan musuh Islam itu bergerak di peringkat antarabangsa. Tiap-tiap negara ada agen dia (musuh Islam). Apa saja Islam, bunyi Islam dia tentang.

"Cuba tanya 'Sisters In Islam' kenapa dia tidak menentang lain-lain undang-undang, lain-lain hukuman?

"Kenapa dia (SIS), kalau orang yang minum arak kalau didenda RM2000.00, dia tak tentang (menentang)? Kenapa kalau orang mencuri kalau kena dua tahun penjara dia tak tentang? Tapi bila dikenakan hukuman itu Islam dia tentang, maknanya dia tentang Islam !,"kata Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Ustaz Harun Taib yang dipetik oleh Buletin Online ketika ditemui selepas Solat Sunat Eidul Fitri, di Markas Tabiyah PAS Kubang Lembek, Manir, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu hukuman rotan yang dikenakan keatas bekas jururawat yang menjadi model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno.

Di bawah dipaparkan kenyataan penuh Dato' Ustaz Harun Taib:

___________________________________________________________

Dalam dunia ini tidak ada benda yang dikatakan tidak salah semuanya dan benar semuanya, maknanya ada kewajipan dan ada hak, oleh sebab itu dalam sesebuah negara itu, dia (negara itu) ada undang-undangnya, kalau disebut dari sudut sesebuah negara.

Kalau kita pergi ke England atau United Kingdom pun dia ada undang-undangnya, sesiapa yang duduk dalam negera itu maka dia kena ikut undang-undang, di Anerika Syarikat pun begitu di Australia pun begitu, orang mari Malaysia pun mesti ada undang-undang. Semua orang yang bersedia untuk duduk (dan tinggal) dalam negara itu, atau ziarah ke negara itu dia bersedia tunduk dan patuh kepada negra itu.

Jadi undang-undang yang dikenakan kepada Kartika itu adalah satu undang-undang yang sudah diketahui umum, maknanya dalam masyarakat Islam macam Malaysia, maknanya tidak payah mengaji (belajar) orang tahu arak tak boleh. Arak tak boleh, zina tak boleh, mencuri tak boleh, merompak tak boleh, itu orang panggil �maklum minaddin bi darurat�- semua orang Islam tahu.

Cuma setiap kesalahan itu ada hukumannya (dan) hukuman itu sudah dimaklumkan. Dalam tiap-tiap negri di malaysia ini, enakmen itu dan kesalahan arak ini ada, jadi kepada perempuan itu (Kartika), dia tidak kritik undang-undang ini, dia tahu dia buat salah, sebagaimana kalau dia buat salah yang lain pun dia kena hukum juga. Kalau orang buah salah (kesalahan) jalan raya dia kena denda juga, tak bolehlah kalau kesalahan jalanraya dia kena denda, dia kata eh....zalim, tapi tak ada orang kata zalim.

Ini undang-undang tentang arak, dia tahu dia tak boleh minum arak, salah disudut undang-undang tapi dia minum, dia tahu, dia sedar, ini kena hukum dan dia rela kena hukum, dimana zalimnya? Kalau dia tak rela, dia tak setuju, dia bantah, mungkin boleh di panggil zalim, tapi tidak ada kesalahan atas dunia ini yang tidak ada hukuman!

Jadi kita nak katakan tindakan 'Sisters In Islam' itu apa dia?

Dia (SIS) ni menjadi agen, agen musuh Islam di peringkat antarabangsa. Kan musuh Islam itu bergerak di peringkat antarabangsa. Tiap-tiap negara ada agen dia (musuh Islam). Apa saja Islam, bunyi Islam dia tentang. Cuba tanya �Sisters In Islam� kenapa dia tidak menentang lain-lain undang-undang, lain-lain hukuman?

Kenapa dia (SIS), kalau orang yang minum arak kalau didenda RM2000.00, dia tak tentang (menentang)? Kenapa kalau orang mencuri kalau kena dua tahun penjara dia tak tentang? Tapi bila dikenakan hukuman iku Islam dia tentang, maknaya dia tentang Islam ! _

Friday, September 18, 2009

Jika memerintah, PAS jamin beri keadilan untuk semua
Dzulfikar Mashoor
Fri Sep 18, 09 11:32:50 am MYT

TELOK KEMANG, 18 Sept: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam memberi jaminan bahawa PAS berdiri atas prinsip keadilan Islam akan terus memelihara hak semua rakyat, tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan status sosial.

"Islam memberi hak kepada orang Islam dan bukan Islam. Sesuatu yang tidak dilarang oleh agama lain, jika PAS memerintah, maka PAS tidak akan haramkan," katanya.

"Tetapi, seperti babi, arak, rasuah, maksiat yang ditegah ke atas orang-orang Islam, maka tidak boleh dijual kepada orang Islam. PAS mahu mendidik umat Islam supaya menjauhinya," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyentuh isu bantahan pemindahan kuil ke Seksyen 23; dan kes pemindahan kandang babi yang dipercayai khalayak sebelum ini didalangi Umno.

"Di Selangor, Umno nak tunjuk merekalah yang mempertahankan Islam walhal kerajaan Umno lalu menipu orang Islam sendiri dengan membina taman perumahan tanpa ditunjukkan wujudnya kuil berusia 150 tahun dalam plan kepada pembeli-pembeli rumah (di Seksyen 19).

"Mengarak kepala lembu, bukan sahaja menjadikan mereka menghina kepercayaan penganut Hindu, tetapi menunjukkan mereka tidak memahami ajaran Islam yang sebenar.

"Umno sanggup tidak menyelesaikan kes kandang babi di kawasan awam di Kedah berpuluh tahun, kerana nak jaga hati orang Cina. PAS difitnah khianat Melayu (dan) pentingkan Cina, walhal kerajaan Pakatan di Kedah sebenarnya hanya pindah kandang itu ke suatu kawasan yang lebih sesuai untuk orang Melayu dan Cina sendiri,"jelasnya dalam Majlis Perlancaran Jentera PAS N31 semalam.

Tegasnya lagi, apa yang dilakukan PAS bertepatan dengan ayat al-Quran, Surah an-Nisa' ayat 58. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kami menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya secara adil.

Bercakap di pentas yang sama,Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, Umno sekarang dikatakan kian terdesak apabila Presidennya Dato' Seri Najib Tun Razak terpaksa mengisytiharkan parti perkauman itu juga melaksanakan Islam.

"Dalam beberapa pilihan raya kecil lepas, Umno lihat PAS terus mendapat sokongan orang Melayu, Cina dan India. Akhirnya, mereka terdesak dan Najib terpaksa isytihar Umno juga parti (pelaksana) Islam (seperti PAS).

"Politik Islam yang diperkenalkan PAS mengajak manusia jadi baik. Politik yang ditegakkan Pakatan Rakyat mahu tolak apa juga kezaliman, rasuah dan penyelewengan. Itulah yang Umno bimbang, itulah yang rakyat lihat,"tegasnya.

Turut menyertai majlis itu, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Majlis yang disertai lebih 500 sukarelawan PAS tempatan itu berakhir dengan perlancaran portal rasmi Bagan Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat dijangka mengumumkan calon mereka pada 29 September depan.

Selain berdepan dengan parti perkauman Umno, PAS dijangka berdepan calon bebas Shahruddin Abdul Hamid yang mahu membangunkan aktiviti pelancongan setempat. - mks. _
Bagan Pinang: 59.6% mahu Isa Samad calon BN
Nazri Abdullah
Fri Sep 18, 09 10:50:37 am MYT

SHAH ALAM, 18 Sept: Menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan. Kaji selidik awal sebuah firma penyelidikan bebas, Ilham Centre mendapati pengundi di DUN berkenaan setuju mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai calon BN.

Rata- rata responden berpendapat, legasi Isa perlu diberi tempat semula kerana lebih memberi keuntungan kepada mereka berbanding Menteri Besar sekarang Datuk Seri Mohamad Hassan.

Biarpun peratusan itu agak besar, namun responden masih meletakkan kerisauan terhadap Isa.

Ini kerana Isa pernah dikaitkan dengan pelbagai skandal penyalahgunaan kuasa khususnya isu rasuah pada pemilihan UMNO empat tahun lalu, isu kronisme dikalangan ahli keluarga dan ahli parti di sekitar Port Dickson khususnya di kawasan Si Rusa, Teluk Kemang dan Bagan Pinang sehingga membawa kepada masalah dalaman parti yang meruncing.

Kajian juga menunjukkan 48.5 peratus meletakkan faktor calon lebih penting berbanding 41.8 peratus kekuatan perti untuk menang pilihanraya itu. Manakala 8.1 peratus yang lain tidak pasti.

Selain itu kajian itu juga mendapati Umno sukar untuk menang dengan majoriti besar kerana berdepan pengundi muda luar kawasan yang dilihat lebih bermaklumat.

45.9 peratus dari pengundi muda yang ditemui yakin undi Umno BN tidak banyak di saluran 4 dan 5. Manakala 32.3 peratus pula yakin rekod prestasi wakil rakyat BN lalu bukan sahaya tidak boleh mambantu namun memberi beban kepada kemenangan BN itu sendiri.

Pada kajian itu juga, 57.2 peratus pengundi menjangkakan Pakatan Rakyat diwakili PAS akan bertandingmelawan BN. Manakala hanya 32.8 peratus meletakkan harapan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding biarpun Parlimen Teluk Kemang milik parti itu.

Dalam temubual mereka sepanjang kajian bermula 15 hingga 16 September lalu itu mendapati sebanyak 34.8 peratus bersetuju untuk menyatakan bahawa UMNO adalah parti yang bersifat perkauman, hanya 32.8 peratus responden tidak bersetuju dengan kenyataan itu manakala 32.3 peratus memberikan respon tidak pasti.

Selain perkauman, 52.0 peratus bersetuju bahawa UMNO-BN adalah parti rasuah dan sering terlibat dengan skandal moral yang memungkinkan akan terjejasnya sokongan pengundi muda.

Manakala hanya 22.2 peratus menyatakan tidak setuju yang kebanyakkan mereka merupakn pengundi di saluran 1 dan 2 yang juga merupakan penyokong tegar kepada UMNO-BN.

Berkenaan undi pos pula, 47.0 peratus responden bersetuju BN sangat bergantung kepada undi Pos untuk menang, 11.1 tidak bersetuju manakala 41.9 tidak pasti.

Kebanyakan anggota tentera yang ditemubual beranggapan bahawa sistem undi POS sekarang adalah tidak telus dan diguna bagi memberi kelebihan kepada BN.

Kesimpulan kajian tersebut menunjukkan Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan yang sukar dan sengit untuk terus memenangi kerusi N31 ini sekiranya PAS hadir dengan semangat dan kerjasama yang padu bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR).

Kesemua kajian tersebut dijalankan secara temubual disamping pemerhatian terus dan penglibatan di lapangan.

Pecahan responden pula adalah 53.0 peratus pengundi Melayu, 30.8 peratus Cina dan 12.1 peratus adalah India.

Respondan juga dipilih berdasarkan komposisi kaum dan lokaliti Unit Peti Undi (UPU) mengikut satu satu saluran.

Kajian melibatkan responden di kawasan bandar dan luar bandar di 8 buah UPU iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau, Ladang Bradwall, Sua Betong, Taman Eastern, Kampung Bagan Pinang, Si Rusa dan Teluk Kemang). _

Saturday, September 12, 2009

Kerana fahaman Islam Umno maka berkecainya Altantuya
Harakahdaily Fri Sep 11, 09 2:48:11 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Sept:

Kerana fahaman Islam Umno hanya untuk pembangunan ekonomi sahajalah maka berkecainya badan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu, kata Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali.
Bagi beliau, Umno hanya memalukan umat Islam di seluruh dunia sahaja jika terus mendakwa mereka adalah parti Islam.
"Kalau Umno mengaku parti Islam maknanya bagi Umno Islam ini untuk pembangunan ekonomi sahajalah. Yang lain seperti aqidah, keadilan, akhlak dan moral, Umno tidak terimalah," kata anggota Parlimen Titiwangsa itu.
Lo' Lo' yang juga AJK PAS Pusat mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, Umno adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat Islam dan negara ini.
"Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan Umno sejak 53 tahun yang lepas berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam dengan membuka tanah rancangan Felda dan adakah ini bukan tuntutan Islam?," kata beliau ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur di sini semalam.
"Kita tidak perlu label "membangun bersama Islam" kerana kita telah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan," kata Najib.
Bagi Lo' Lo', kerana sikap Presiden Umno begitulah maka Umno penuh dengan amalan yang tidak baik seperti rasuah, kebocoran wang negara dan tidak amanah berleluasa di negara ini.
"Kerana anggapan Islam Umno itulah maka berkecainya nyawa Altantuya Shariibuu dan matinya Teoh Beng Hock di pejabat SPRM," kata Lo' Lo' kepada Harakahdaily.
Bagi beliau, apa yang dibuat oleh Umno ketika menganggap Islam hanya membangunkan ekonomi pun hanya membangunkan ekonomi untuk golongan tertentu sahaja bukan untuk umat Islam semuanya kerana ramai umat Islam sendiri yang terus terbiar papa kedana.
"Hanya untuk Umno dan BN serta kroni mereka sahaja," kata beliau menambah hujjahnya.
Bagi beliau, Umno hanya mengambil Islam yang sesuai dan untuk kepentingan mereka sahaja tetapi meninggalkan ajaran dan akhlak yang dibawa oleh Islam.
"Jenayah dan keselamatan rakyat terancam. Pimpinan Pakatan Rakyat tergugat. Semua ini Umno tidak pentingkan kerana fahaman Umno Islam adalah untuk kemajuan ekonomi sahaja," katanya._
BN mungkin akan ditolak seperti LDP - Dr M
Abdul Aziz Mustafa Sat Sep 12, 09 9:14:13 am MYT
KUALA LUMPUR, 12 Sept:

Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Adakah pilihan raya yang akan datang akan menyaksikan fenomena yang sama seperti di Jepun? Ia tidak mustahil sama sekali," kata bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu.
Para pengundi muda, katanya, dikatakan kecewa dengan "parti yang mendapatkan kemerdekaan" kerana perkara itu telah menjadi sejarah dan tidak begitu bermakna kepada mereka.
Menurut beliau, di beberapa negara lain, parti-parti yang "berjuang dan mencapai kemerdekaan" telah hilang lenyap seolah-olah rakyat tidak tahu berterima kasih dan tidak peduli "pejuangan dan pengorbanan" parti-parti tersebut dan para pemimpinnya.
"Adakah mereka tidak tahu berterima kasih? Ada kebenarannya tetapi jika kita mahu mengkaji, kita akan dapati sikap para pejuang kemerdekaan itu dan mereka yang mengggantikan para pejuang tersebut telah berubah hampir sepenuhnya," kata beliau dalam blognya.
Mereka, kata Dr Mahathir, menjadi tamak dan angkuh serta tidak lagi mempedulikan negara dan rakyat.
Walaupun menyatakan bahawa para pengundi Melayu begitu setia kepada BN, tetapi Dr Mahathir mengingatkan wujudnya bukti di dalam pilihan raya umum tahun lalu bahawa para pengundi setia itu telah memberikan undi kepada pembangkang.
Menyentuh keadaan Umno kini, Dr Mahathir berkata, gejala yang melanda parti itu tidak boleh dinafikan lagi.
"Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan.
"Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.
"Tidak ada apa-apa pun yang boleh ditunjukkan walaupun Petronas membayar RM250 bilion lebihan kepada kerajaan," katanya.
Adalah menghairankan, kata Dr Mahathir, apabila didapati Malaysia ketinggalan di belakang jiran-jirannya.
Negara ini, kata beliau, "bukan lagi negara yang terkehadapan di rantau ini. Tentunya tidak lagi boleh disifatkan sebagai negara contoh".
Beliau berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.
"Tetapi, jika prestasi kerajaan BN dan parti-parti di dalamnya gagal meyakinkan, pera pengundi yang kecewa mungkin akan melakukan apa yang telah dilakukan para pengundi Jepun - menyingkirkan parti yang mereka sokong sejak lebih dari separuh abad," kata Dr Mahathir.
Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) di negara itu sejak Perang Dunia Kedua.
Kehancuran kuasa LDP itu menyaksikan DPJ memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu. _